Categories
SELANGOR

Kerajaan Negeri demokrasi pemilikan rumah bantu rakyat

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 10 OGOS: Pendemokrasian milikan rumah adalah dasar Kerajaan Negeri ketika ini iaitu cerminan kepada sebuah kerajaan yang berusaha ke arah mengurangkan kesenjangan pendapatan di kalangan rakyat.

Kerajaan Negeri bukan sahaja giat memperluaskan akses pemilikan Rumah Selangorku tetapi turut memulihkan projek terbengkalai di Selangor selaras dengan motto dilaungkan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali iaitu ‘Membangun Bangsa, Memakmur Negeri’.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar, Dato’ Iskandar Abdul Samad berkata, sebanyak 53 projek perumahan terbengkalai berjaya dibaik pulih membabitkan 24,660 unit rumah sejak tampuk pentadbiran diambil alih, pada Mac 2008.

Katanya, masalah yang ditinggalkan Kerajaan Barisan Nasional ketika itu berjaya diselesaikan Kerajaan Negeri, hari ini.

Iskandar-DanaSel-featuredMalah, beliau berkata, Kerajaan Negeri turut mengambil kira polisi melalui Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) untuk bertindak sebagai pemudah cara dalam menyelesaikan isu projek terbengkalai itu.

“Antara polisi itu adalah membantu pembeli menubuhkan jawatankuasa bertindak supaya tindakan dan badan yang terbabit memerlukan persetujuan sekurang-kurangnya 85 peratus pembeli perlu diperolehi terlebih dahulu.

“LPHS berperanan mengeluarkan surat pengesahan projek terbengkalai supaya pembeli dapat berurusan dengan pihak bank untuk menstruktur semula bayaran bulanan daripada pembiaya atau bank,” katanya.

Selain itu, katanya, Kerajaan Negeri turut memberi khidmat nasihat dan panduan tindakan kepada pembeli untuk membawa kes ke Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Antara dasar LPHS dalam membantu pembeli ialah menubuhkan jawatankuasa bertindak bersama iaitu pembeli boleh menyelaras bersama pihak berkuasa.

Salah satu langkah yang diambil adalah meminta semua pemilik rumah kedai membentuk jawatankuasa bertindak bersama.