Categories
PENDIDIKAN SELANGOR

Lahirkan modal insan berkualiti

OLEH AFIX REDZUAN

BESTARI JAYA, 27 OGOS: Pertandingan Debat dan Pidato Yayasan Selangor (DPYS) kali kesembilan diharapkan dapat melahirkan modal insan berkualiti untuk pembangunan masa depan negara.

Setiausaha Kanan, Exco Pendidikan, Pembangunan Insan, Sains, Teknologi dan Inovasi, Abbas Awang berkata, Selangor tidak memiliki sumber asli seperti minyak dan emas sebaliknya modal insan yang sedia ada perlu digilap serta dibangunkan sebaik mungkin.

“Kita berharap dapat mencungkil dan melahirkan lebih ramai pendebat dan pemidato muda yang hebat menerusi DPYS kerana mereka merupakan pewaris kepada kepimpinan masa hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama Majlis Perasmian Debat dan Pidato Yayasan Selangor Kali Kesembilan Tahun 2017 di Dewan Canselor UNISEL bagi mewakili Nik Nazmi Nik Ahmad.

Debat dan PidatoDPYS 2017 yang disertai 138 pelajar terdiri daripada 21 pasukan debat, 31 pemidato Bahasa Melayu dan 24 pemidato Bahasa Inggeris dari pelbagai jenis sekolah termasuk Sekolah Berasrama Penuh (SBP), Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), Sekolah Menengah Kebangsaan, Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) dan Sekolah Swasta.

DPYS yang diasaskan oleh Kelab Debat Asrama Yayasan Selangor Klang mula dianjurkan buat pertama kali pada 2005.

Pertandingan akhir pidato akan berlangsung pada Ahad, 27 Ogos manakala debat perdana akhir dilangsungkan pada Isnin, 28 Ogos.

=EZY=