Categories
NASIONAL

MAPIM seru wang korban diinfaq bantu etnik Rohingya

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 29 OGOS: Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) menyeru masyarakat Islam negara ini memikirkan nasib saudara seagama termasuk etnik Rohingnya yang terkorban setiap hari akibat dizalimi.

Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, ketika ini ribuan warga Rohingya sedang hebat dizalimi, diburu dan dibunuh selain perkampungan mereka dimusnahkan.

Justeru, pihaknya menyeru muslimin yang ingin melakukan ibadah korban tahun ini untuk menginfaqkan sebahagian wang itu kepada ribuan Rohingnya tertindas.

MAPIM - AZMI HAMID“Di saat kaum Muslimin berkorban haiwan, saudara kita di Arakan kebuluran kerana melarikan diri dalam hutan dan di benteng Sungai Naf untuk menyeberang ke Bangladesh menyelamatkan diri dari buruan tentera Myanmar dan ekstrimis Buddha.

“Kita tidak boleh hanya menumpu untuk mendapat ganjaran amal korban semata-mata tetapi perlu turut menyalurkan pengorbanan untuk disumbang kepada saudara seagama sedang ditindas di Myanmar,” ,”katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, MAPIM turut menyeru semua jemaah haji di Mekah khususnya dari Malaysia berdoa dan bersolat hajat memohon kesejahteraan dan perlindungan etnik Rohingya.

mekahMohd Azmi berkata, penindasan terhadap etnik itu menuntut pembelaan setiap muslimin dan ibadah haji dijalankan ketika ini perlu dimanfaatkan bagi tujuan itu.

“Keadaan kini sangat parah, kanak-kanak dan wanita Rohingya tidak berdosa dibunuh dengan zalim dengan setakat ini lebih 40 kampung musnah dibakar manakala lebih 500 orang terkorban.

“Malangnya tiada sebarang tindakan dari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Pertubuhan Kerjasama Islam, Kesatuan Eropah mahupun Asean,” katanya.