Categories
SELANGOR

MBI-Unisel sedia beri kerjasama

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 23 OGOS: Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI) dan Universiti Selangor (Unisel) akan terus memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung siasatan penyelesaian pertikaian dengan Jana Niaga Sdn Bhd.

Dalam kenyataan bersama dikeluarkan Ketua Pegawai Eksekutif MBI, Raja Shahreen Raja Othman dan Naib Canselor Unisel, Prof Dato’ Dr Mohammad Redzuan Othman berkata, MBI mahupun anak syarikatnya sentiasa
mengamalkan konsep ketelusan dan keterbukaan.

Katanya, konsep itu diamalkan di dalam pentadbiran organisasi berlandaskan struktur tadbir urus korporat yang baik.

“MBI ingin menegaskan bahawa MBI dan anak-anak syarikatnya sentiasa mengamalkan konsep ketelusan dan keterbukaan di dalam pentadbiran organisasi berlandaskan kepada struktur tadbir urus korporat yang baik,” katanya.

Kenyataan bersama itu turut menyebut, MBI dan Unisel akan turut mengemukakan segala bukti dan kenyataan yang diperlukan bagi membantu sepanjang siasatan.

“Ia sekaligus dapat merungkai sebarang tuduhan dan tohmahan salah laku yang dilemparkan terus ke atas MBI dan anak-anak syarikatnya,” katanya.

Pada masa sama, mereka berkata, beberapa siri perundingan dan perbincangan dilaksanakan Unisel dan MBI sebelum ini bagi mencari jalan penyelesaian terbaik dalam hal terbabit.

Katanya, ia turut mengambil kira kepentingan Kerajaan Negeri di samping memastikan kelangsungan operasi Unisel tidak terjejas.

“Di dalam mencari jalan penyelesaian ini, asas pertimbangan utama yang dititikberatkan adalah untuk memastikan Unisel dapat menyediakan perkhidmatan pendidikan terbaik supaya kebajikan pelajar dapat dibela.

“Keputusan ini selaras dengan keputusan Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan bahawa pertikaian itu tidak perlu dirujuk di Mahkamah.

“(Sebaliknya) dirujuk kepada jawatankuasa penyelesaian pertikaian atau melalui proses timbang tara seperti yang terkandung di bawah perjanjian konsesi yang dimeterai di antara Unisel dan Jana Niaga,” katanya.