Categories
NASIONAL

Najib amal politik takutkan rakyat – Azmin

OLEH ERMIZI MUHAMAD

BATU CAVES, 12 OGOS : Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengamalkan politik sempit dengan memainkan sentimen bersifat ‘propaganda’ bagi menakut-nakutkan rakyat, kata Timbalan Presiden KEADILAN, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

Beliau berkata, kenyataan Najib kononnya langkah menukar Kerajaan Persekutuan sedia ada tidak mampu menyelesaikan kemelut negara ini adalah tidak tepat.

Katanya, kredibiliti pimpinan Pakatan mengurus tadbir Selangor dan Pulau Pinang menjadi contoh terbaik bahawa peralihan pentadbiran kepada Pakatan mampu membawa perubahan positif kepada negara.

AZMIN ALI (1)“Pulau Pinang dan Selangor sudah membuktikan bahawa langkah menukar kerajaan adalah penyelesaian terbaik.

“Rakyat mengharapkan pemimpin bersih yang mampu melawan rasuah dan kerajaan intergriti.

“Ini sudah dibuktikan di Selangor, kalau kita boleh tadbir Selangor dengan kejayaan, saya percaya Putrajaya juga mampu kita tadbir,” katanya.

Beliau ditemui pemberita pada penganjuran Karnival Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) di Padang Awam, Kampung Baru Batu Caves, Gombak, pagi ini.

Terdahulu, Perdana Menteri ketika berucap pada majlis di Lipis baru-baru ini menegaskan langkah menukar kerajaan bukanlah jaminan penyelesaian terbaik kepada semua masalah.

Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan mendakwa, kononnya pertukaran pentadbiran Kerajaan hanya akan mengundang lebih banyak masalah dan memudaratkan ekonomi negara.

Bagaimanapun, Mohamed Azmin menegaskan, pentadbiran Pakatan di Selangor misalnya menjadi penandas aras terbaik dengan kemajuan pertumbuhan ekonomi negeri di bawah Kerajaan Pakatan.

“Kita kekal sebagai pengeluar KDNK tertinggi negara, malah dalam RM1 wang rakyat Pekan, 20 sen itu datangnya dari kejayaan ekonomi Selangor,” katanya.