Categories
NASIONAL

Pewartaan Rabies kekal di Kuala Sepetang

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 4 OGOS: Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Perak tidak akan menarik balik pewartaan kawalan penyakit rabies di kawasan Kuala Sepetang dalam masa terdekat.

Pengarahnya, Dr Fuziah Muhayat berkata, hal itu kerana proses penarikan balik warta mengenai kawalan hanya akan dilaksanakan jika didapati tiada sebarang kes tempatan dikesan.

Katanya, ia sama ada di dalam mana-mana spesis haiwan mahupun manusia selama sekurang-kurangnya dua tahun.

Beliau berkata, status keadaan penyakit itu akan terus dipantau secara berkala melalui program survelan yang akan dijalankan.

“Sekiranya terdapat pengasingan Lyssa virus (penyebab penyakit rabies) pewartaan itu akan diteruskan sehingga keadaan sampel yang diambil adalah negatif sekurang-kurangnya dua tahun.

“Sehubungan itu, penarikan warta mengenai kawalan penyakit rabies tidak digalakkan ditarik dalam masa terdekat kerana punca kuasa semua aktiviti kawalan penyakit rabies ini terkandung didalam pewartaan itu,” katanya dalam kenyataan.

Pada masa sama, Fuziah berkata, tindakan menarik semula pewartaan tempoh terdekat juga bercanggah dengan Terrestrial Animal Health Code (OIE) yang mensyaratkan tempoh bebas adalah selepas dua tahun kes terakhir yang dilaporkan bersama semua syarat-syarat lain yang perlu dipatuhi.

Terdahulu, kawasan Kuala Sepetang itu merupakan kawasan yang baharu dikenalpasti sebagai ancaman Rabies.

Pada 13 Julai lalu, jabatan itu menerima aduan daripada seorang penduduk beralamat di Kuala Sepetang memaklumkan anjing peliharaannya mati selepas lapan hari menggigit anak perempuan dan anak saudara perempuannya.

Katanya, susulan aduan itu, jabatan melakukan pengambilan sampel karkas anjing itu untuk dihantar ke Institut Penyelidikan Veterinar (VRI) Ipoh.