Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Penantian puluhan tahun berakhir, 45 penduduk terima Notis 5A

OLEH LIZAWATI MADFA

SEPANG, 4 OGOS: Penantian puluhan tahun 45 penduduk Kampung Sri Tanjong berakhir hari ini selepas Kerajaan Negeri bersetuju menyerahkan Notis 5A.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, penduduk juga diberikan tempoh setahun untuk menjelaskan kadar premium di antara RM300 hingga RM1,000.

Katanya, premium dikira berdasarkan Kanun Tanah Negeri Selangor dan jauh lebih rendah berbanding nilai semasa tanah.

IMG_7797“Saya beri jaminan bahawa Kerajaan Negeri juga akan membantu penduduk memiliki tanah berkenaan dan tidak mahu penduduk terbeban.

“Sebentar tadi, Ketua Pegawai Operasi Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) berkata, pihaknya sedia mempertimbang untuk melangsaikan bayaran premium bagi keluarga miskin dan tidak berkemampuan,” katanya di hadapan lebih 200 hadirin.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Notis 5A di Dewan Orang Ramai, Taman Gemilang, di sini, hari ini.

Mohamed Azmin berkata, Kerajaan Negeri meluluskan hampir 2,000 permohonan milikan tanah sejak beliau menjawat jawatan Menteri Besar pada September 2014.

“Ini membuktikan komitmen Kerajaan Negeri dalam mengembalikan hak rakyat kerana ini bukan milik pemimpin tetapi tanah rakyat.

IMG_7859“Kita tidak memberinya ketika kempen pilihan raya tetapi kita lakukan pada setiap Rabu pada setiap minggu dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri,” katanya.

Majlis turut menyaksikan penyerahan bantuan pinjaman Hijrah kepada 62 peserta dengan jumlah keseluruhan RM710,000.

Sumbangan lain termasuk Skim Peduli Sihat kepada 10 penerima, Foodstamp (10), Bantuan Input Pertanian (19) dan Bantuan Peningkatan Kualiti Ternakan dan Hasil Pengeluaran (2).