Categories
SUKANKINI

Terima kasih Malaysia…

OLEH AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 30 OGOS: Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengucapkan terima kasih kepada skuad bola sepak bawah 22 (B-22) Sukan Sea Kuala Lumpur 2017 walaupun tewas kepada Thailand dalam perlawanan akhir, malam tadi.

Tunku Mahkota Johor (TMJ) itu berkata, skuad bimbingan Datuk Ong Kim Swee layak menerima penghargaan atas komitmen 100 peratus untuk memastikan Malaysia memberi saingan hebat kepada Thailand.

“Saya sebagai presiden FAM berasa sangat bangga mempunyai individu seperti anda, malah saya tahu keluarga dan kawan anda akan rasa bangga, apa yang anda buat dan korban kepada negara tiada orang boleh tarik.

“Itu hak anda selamanya, kalau saya ada satu benda atau perkataan untuk disampaikan, ia adalah terima kasih kerana memberi pesembahan begitu (terbaik) sepanjang Sukan Sea.

“Tiada orang suka kalah, kita tidak suka kalah tetapi itu tidak bermakna ini perjalanan terakhir kita,” kata baginda menerusi video dipaparkan di Facebook rasmi FAM.

TMJTunku Ismail berkata, walaupun mengakui kecewa atas kekalahan terbabit, namun aksi cemerlang dipamerkan pemain boleh dibanggakan kerana mereka adalah aset negara.

Pada masa sama, baginda turut menyarankan semua pemain bersatu dan memperbaiki kelemahan yang ada dengan menjadikan kekalahan, semalam sebagai satu pengajaran untuk melangkah ke hadapan.

“Perjalanan anda masih jauh dan syabas, jangan sedih kerana kalah menang normal dalam sukan. Apa yang penting, belajar daripada kesilapan dan kekalahan serta jadikan ia sebagai senjata untuk kita, pada masa akan datang,” kata baginda.

Malaysia berjaya memecahkan sasaran pingat emas dalam acara dwitahunan Sukan Sea ke-29 dengan 140 emas, namun gagal meraih emas dalam acara bola sepak setelah tewas kepada Thailand, 0-1.

Pasukan bola sepak Malaysia tersungkur, pada minit ke-39 selepas penjaga gol, Haziq Nadzli gagal menepis bola lalu tertolak ke gawang sendiri.