Categories
SELANGOR

Tiada aduan negatif, WHB urus SATS dengan baik

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 22 OGOS: Worldwide Holding Berhad (WHB) berjaya mengendalikan operasi Stesen Pemindahan Sisa Pepejal (SATS) di Seksyen 21 di sini, dengan baik di sepanjang tempoh lima tahun pengurusannya.

Exco Kerajaan Tempatan, Pemutihan Kilang Haram dan Pembangunan Kampung Baru, Ean Yong Hian Wah, berkata anak syarikat Kerajaan Negeri itu tidak pernah menerima aduan negatif maka tuduhan dibuat ke atasnya adalah tidak berasas sama sekali.

“Tuduhan Menteri Kesejahateraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Tan Sri Noh Omar, mengenai ketidakcekapan pengurusan WHB adalah satu fitnah dan tidak tepat.

“Ingin dimaklumkan bahawa sepanjang tempoh pengurusan tapak SATS, WHB tidak pernah menerima sebarang aduan tidak baik berkenaan pengurusan dan perkhidmatannya daripada pihak berkuasa tempatan (PBT), KPKT dan agensi berkaitan pengurusannya,” katanya dalam kenyataan kepada SelangorKini.

Beliau berkata, di sepanjang tempoh lima tahun pengurusannya, WHB menerima lawatan lebih 10 kali daripada KPKT dan pelbagai agensi antaranya Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negera (JPSPN) Dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) yang memberikan maklum balas baik.

“KPKT telah menempatkan dua pegawai SWCorp selama dua bulan bagi menjalani latihan pengurusan alam sekitar di SATS dan laporan pengoperasian serta penyelengaraannya diberikan kepada kementerian dibuat secara berkala.

“Surat aduan daripada KPKT berhubung ketidakpuasan pengoperasian dan penyelenggaraan SATS tidak pernah diterima WHB sepanjang tempoh lima tahun,” katanya.

Dalam laporan media, Noh berkata, KPKT akan segera membaiki stesen itu setelah mengambilalih operasinya pada akhir Julai lalu untuk memudahkan penghantaran sisa pepejal ke stesen oleh empat PBT yang kini menghantar sisa itu ke Tapak pelupusan di Jeram.

KPKT juga dikatakan menghentikan kontrak kontraktor dilantik Kerajaan Selangor yang tamat pada 21 Mei lalu kerana tidak berpuas hati dengan kerja dijalankan.

Dalam Sidang Dewan Negara, Timbalan Menteri KPKT, Datuk Halimah Mohamed Sadique menyatakan Kerajaan Selangor berhenti menggunakan SATS selepas Kerajaan Persekutuan mengambilalih operasinya pada Julai lalu.

=EZY=