Categories
NASIONAL

Anwar: Ambil langkah serius tingkat keselamatan pusat tahfiz

SHAH ALAM 17 SEPT: Kerajaan Persekutuan digesa mengambil langkah lebih serius dan menyeluruh bagi menjamin aspek keselamatan pusat tahfiz di seluruh negara susulan tragedi kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah yang meragut 23 nyawa Khamis lalu.

Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kenyataan media berkata tindakan itu perlu memandangkan ia adalah kejadian ke-212 melibatkan maahad tahfiz dari 2015 hingga kini.

Pada masa sama, kata Anwar, beliau menerima baik usaha Kerajaan Selangor untuk melaksanakan audit tahap keselamatan maahad tahfiz di seluruh negeri.

Katanya Kerajaan Persekutuan perlu mengambil langkah lebih serius termasuk dengan mengumumkan jumlah maahad tahfiz yang tidak berdaftar dengan agensi bertanggungjawab, yang beroperasi di premis tanpa permit PBT atau kelulusan bomba dan langkah diambil untuk memastikan kejadian seperti itu tidak berulang.

IMG_8542“Saya teramat sugul menerima berita kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah yang meragut nyawa 21 pelajar dan dua guru pada 14 September lalu. Saya ingin merakamkan ucapan takziah buat semua keluarga yang terkesan akibat tragedi ini.

“Penangkapan tujuh suspek yang dipercayai terlibat dalam kejadian kebakaran tersebut diharap akan dapat merungkai bagaimana kejadian ini boleh terjadi,” kata Anwar.

Anwar berkata, walaupun dipercayai wujudnya unsur khianat, namun piawaian keselamatan wajib ditepati.

“Kita tidak mampu cuai, lebih-lebih lagi kerana melibatkan nyawa dan masa depan anak-anak kita,” katanya.

=EZY=