Categories
NASIONAL

Awas Macau Scam, 694 kes, rugi RM21.4 juta

KUALA LUMPUR 17 SEPT: Sebanyak 694 kes penipuan Macau Scam direkodkan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman dengan kerugian RM21.4 juta dalam tempoh lapan bulan sehingga Ogos lalu.

Pengarah JSJK Bukit Aman, Datuk Seri Acyrl Sani Abdullah Sani berkata, pihaknya sejak kebelakangan ini banyak menerima pertanyaan orang ramai bagi mendapatkan pengesahan berhubung panggilan diterima.

Katanya berdasarkan siasatan dijalankan, pihaknya mendapati sindiket menggunakan pelbagai modus operandi menipu mangsa bagi tujuan memperdaya mereka untuk menyerahkan wang.

“Sindiket ini menghubungi mangsa dan menyamar sebagai pegawai bank, polis dan mahkamah atau pegawai daripada syarikat pengutip hutang.

“Nombor telefon tertera pada skrin telefon mangsa pula biasanya kepunyaan agensi atau jabatan berkaitan. Mereka mempunyai kaedah khas untuk memalsukan nombor berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Dalam pada itu, menurut Acyrl Sani, mangsa dimaklumkan bahawa perbualan antara mereka akan dirakam dan tidak membenarkan mangsa untuk memaklumkan mengenainya kepada orang lain.

Jelasnya, mangsa seterusnya dimaklumkan mereka mempunyai hutang atau tunggakan bayaran dan diminta untuk menjelaskannya dengan kadar segera.

“Kemudian, mangsa diarahkan membuat pembayaran atau pemindahan wang dalam tempoh singkat dan nombor akaun diberikan atas nama individu persendirian.

“Sekiranya bayaran tidak di­uat, mangsa diugut akan ditangkap polis atau akaun bank mereka disita oleh pihak berkuasa,” katanya.

Acryl Sani turut mengingatkan orang ramai supaya berwaspada apabila mendapat panggilan sedemikian dan jangan sesekali memberikan sebarang maklumat peribadi seperti nombor kad pengenalan dan akaun bank.

“Pihak bank atau agensi kerajaan tidak akan menghubungi orang ramai untuk meminta sebarang bayaran sama ada cukai, saman, bayaran perkhidmatan atau pindahan wang dibuat dalam akaun persendirian,” katanya.

=EZY=