Categories
GLOBAL

Bimbang letusan Gunung Agung penduduk dipindah meningkat 50,000

DENPASAR, Bali 26 SEPT: Jumlah penduduk yang meninggalkan rumah mereka berikutan kebimbangan Gunung Agung di Bali meletus meningkat kepada hampir 50,000 orang.

Gunung berapi yang terletak kira-kira 75 kilometer dari hab pelancongan Kuta itu telah mengeluarkan bunyi berderum sejak Ogos lalu, dikhuatiri meletus buat kali pertama dalam tempoh 50 tahun, lapor Agensi Berita Antarabangsa AFP.

Sementara itu, beberapa negara termasuk Australia, New Zealand, Singapura, Amerika Syarikat dan Britain mengeluarkan notis amaran semalam supaya menjauhi pusat tumpuan pelancong antarabangsa itu.

Agensi Pengurusan Bencana Indonesia (BNPB) menyatakan seramai 48,540 orang sudah melarikan diri, walaupun angka sebenar dijangka terus meningkat kerana terdapat lebih 60,000 orang menetap di kawasan zon berbahaya itu.

Gunung Agung12“Masih terdapat penduduk yang enggan berpindah,” kata jurucakap BNPB, Sutopo Purwo Nugroho pada sidang akhbar semalam.

“Alasan paling utama mereka ialah gunung berapi itu masih belum meletus. Keduanya, mereka enggan meninggalkan haiwan ternakan masing-masing.”

Pihak berkuasa mengeluarkan amaran tahap tertinggi pada Jumaat lalu susulan peningkatan aktiviti vulkanik dan memberitahu orang ramai supaya berada sekurang-kurangnya 9 kilometer daripada kawah gunung berapi itu.

Mereka yang berpindah ditempatkan di kawasan penempatan sementara atau tinggal bersama saudara-mara masing-masing.

Sejumlah 2,000 ekor lembu juga dipindahkan daripada kawasan kawah gunung berapi itu.

Seorang lelaki, Nengah Satiya yang meninggalkan rumah bersama isterinya tiga hari lalu kembali ke zon berbahaya untuk menguruskan babi dan ayam peliharaannya.

“Ada banyak haiwan ternakan di kampung kami dan tiada sesiapa yang menguruskan binatang ini,” katanya.

Bagaimanapun lapangan terbang di kota Denpasar, Bali yang menerima berjuta-juta pelancong asing setiap tahun, dilaporkan tidak terjejas.

=EZY=