Categories
GLOBAL

Lapangan terbang Ngurah Rai ditutup sehingga esok

AMED, BALI 29 NOV: Gunung Agung terus mengeluarkan debu memaksa pihak berkuasa Indonesia menutup Lapangan Terbang Antarabangsa Gusti Ngurah Rai masuk hari ketiga, hari ini.

Kementerian Pengangkutan Indonesia berkata, lapangan terbang kedua terbesar di Indonesia itu akan ditutup sehingga jam 7 pagi esok, lapor REUTERS?

Pihak berkuasa secara berterusan membuat penilaian risiko debu yang berterbangan dibawa angin ke seluruh pulau itu.

Beberapa kepulan asap putih dan kelabu kelihatan di puncak gunung selepas hujan menjejaskan jarak penglihatan di pulau itu terutama di waktu malam.

Tindakan menutup lapangan terbang yang terletak kira-kira 60 kilometer dari gunung itu menyebabkan kira-kira 443 penerbangan dalam dan luar negara terjejas.

Gunung yang terletak di timur Bali itu dengan ketinggian 3,000 meter, kali terakhir meletus pada 1963. Ia mengorbankan lebih 1,000 orang dan memusnah banyak kawasan perkampungan.

=EZY=

Categories
GLOBAL

Indonesia lanjut penutupan lapangan terbang Bali

JAKARTA 28 NOV: Kementerian Pengangkutan Indonesia melanjutkan penutupan Lapangan Terbang Antarabangsa Gusti Ngurah Rai untuk tempoh 24 jam.

Penutupan itu susulan aktiviti Gunung Berapi Agung yang mula meletus mengeluarkan debu, lapor Agensi Berita Antarabangsa REUTERS.

Kementerian dalam satu kenyataan berkata, laporan pihak berkuasa penerbangan tempatan menunjukkan laluan penerbangan pesawat tertutup oleh debu gunung berapi.

Penutupan dijangka berakhir menjelang jam 7 pagi waktu tempatan pada 29 November.

Sementara itu, Lapangan Terbang Lombok sudah dibuka semula selepas ditutup semalaman susulan letusan gunung berapi itu.

=EZY=

Categories
GLOBAL

Gunung Berapi Agung: 100,000 diarah pindah, penerbangan terjejas

OLEH: MOHD EZLI MASHUT

GLOBAL/ASIA: 27 NOV: Hampir 100,000 penduduk yang tinggal sekitar Gunung Berapi Agung di Kepulauan Bali diarahkan berpindah ketika mana 40,000 sudah berpindah ke kawasan selamat.

Jurucakap agensi pencegahan bencana Indonesia, Sutopo Purwo Nugroho berkata penduduk juga diarahkan berhati-hati disebabkan aliran larva sejuk juga boleh memberikan ancaman kepada penduduk.

“Banjir lahar hujan sudah terjadi di beberapa tempat di lereng Gunung Agung. Hujan akan meningkat.

“Jangan melakukan aktivitas di sekitar sungai. Radius 8-10 km harus kosong dari aktivitas masyarakat,” tulis Sutopo di laman twitternya.

Beliau berkata tidak semua penduduk sudah berpindah. Masih ada yang enggan kerana haiwan ternakan mereka tidak dipindahkan lagi.

“Malah ada di antara mereka masih merasa selamat,” katanya sambil menambah anggota keselamatan sedang memujuk orang ramai untuk berpindah, walaupun mereka boleh dipindahkan secara paksa.

Jurucakap lapangan terbang, Air Ahsanurrohim berkata 445 penerbangan dibatalkan, melibatkan kira-kira 59,000 pelancong.

Penutupan itu berkuatkuasa sehingga pagi esok walaupun pegawai berkata keadaan itu akan dikaji semula setiap enam jam.

Status amaran Gunung Agung dinaikkan daripada peringkat kedua tertinggi kepada peringkat tertinggi hari ini.

Selain itu, letusan gunung berapi itu turut disertai bunyi dentuman yang kedengaran sehingga radius 12 kilometer.

Kali terakhir Gunung Agung meletus ialah pada 1963, mengorbankan 1,100 orang.

Gunung Agung adalah gunung tertinggi di pulau Bali dengan ketinggian 3,142 meter dari paras laut.

Gunung Agung adalah gunung berapi tipe strato, gunung ini memiliki kawah yang sangat besar dan amat dalam yang kadang-kala mengeluarkan asap dan wap air.

Dari puncak gunung Agung kita dapat melihat puncak Gunung Berapi Rinjani yang berada di pulau Lombok, meskipun kedua gunung tertutup awan karena kedua puncak gunung tersebut berada di atas awan.

=EZY=

 

Categories
NASIONAL PELANCONGAN

Malaysia Airlines batalkan penerbangan Denpasar-Bali

SHAH ALAM 27 NOV: Susulan ledakan Gunung Agung di kepulauan Bali, Malaysia Airlines (MAS) membatalkan semua penerbangan antara Kuala Lumpur dan Denpasar-Bali, pada 27 November 2017.

MAS dalam satu kenyataan media berkata penumpang sudah dimaklumkan menerusi Sistem Pesanan Ringkas (SMS), petang semalam dan nasihat penerbangan juga dimasukkan ke dalam laman web, Facebook dan Twitter Malaysia Airlines.

Syarikat penerbangan itu memantau rapi situasi dan akan menyelaras operasi penerbangannya yang keluar masuk Lapangan Terbang Antarabangsa Ngurah Rai jika perlu, demikian menurut Malaysia Airlines dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pagi ini.

Disebabkan situasi itu, Malaysia Airlines akan membenarkan penumpang terbabit untuk:

1. Mendapatkan bayaran balik sepenuhnya harga tiket atau penangguhan pengembaraan sehingga akhir Februari 2018.

2. Perubahan destinasi (tertakluk kepada kesediaan tempat duduk) ke Jakarta, Surabaya atau mana-mana destinasi ASEAN yang dikendalikan Malaysia Airlines.

Untuk maklumat lanjut, penumpang digalakkan menghubungi talian 1 300 88 3000 (di Malaysia) atau +603 7843 4000 (bagi luar Malaysia).

Categories
GLOBAL

Gunung Berapi Agung di kepulauan Bali meletus

OLEH: MOHD EZLI MASHUT

GLOBAL/ ASIA 22 NOV: Gunung berapi di pulau pelancongan Bali, Gunung Agung, dilaporkan meletus petang semalam dan mengeluarkan asap kelabu buat pertama kali dalam tempoh lebih 50 tahun.

Sebelum ini, kira-kira 140,000 penduduk di kawasan sekitar gunung itu diarahkan berpindah ekoran amaran gunung itu meletus bila-bila masa.

Pada kejadian letusan gunung itu pada 1963 menyebabkan kira-kira 1,600 terkorban.

Menurut Badan Nasional Penanggulangan Bencana (BNPB), letusan terbaru itu berlaku pada jam 5.05 petang waktu tempatan dan mula mengeluarkan asap kelabu setinggi 600 meter.

“Orang ramai di sekitar Gunung Agung, pendaki, pengunjung dan pelancong diminta supaya tidak berada, tidak melakukan pendakian dan tidak melakukan aktiviti di Zon Perkiraan Bahaya,” kata Ketua Pusat Data Informasi BNPB Sutopo Purwo Nugroho, yang dipetik dalam laporan agensi berita Antara.

Zon Perkiraan Bahaya adalah meliputi kawasan lingkungan enam kilometer dari kawah puncak Gunung Agung.

Sementara itu, menurut laporan media dalam talian, Kementerian Perhubungan Indonesia dilapor menyatakan semua penerbangan luar dari, dan ke Bali ketika ini masih dijadual seperti biasa.

Indonesia terletak di “Ring of Fire” di Pasifik di mana plat tektonik menyebabkan sering berlaku aktiviti seismik dan gunung berapi sering.

Mengikut anggaran rasmi, pulau percutian Bali kehilangan sekurang-kurangnya $ 110m (£ 83m) dalam pelancongan dan produktiviti sementara penduduk tempatan dipindahkan ke tempat perlindungan.

Walau bagaimanapun, lapangan terbang pulau itu tetap terbuka tanpa sebarang perubahan penerbangan dan kawasan pelancongan selamat menurut agensi bencana Indonesia.

=EZY=

 

Categories
GLOBAL

Bimbang letusan Gunung Agung penduduk dipindah meningkat 50,000

DENPASAR, Bali 26 SEPT: Jumlah penduduk yang meninggalkan rumah mereka berikutan kebimbangan Gunung Agung di Bali meletus meningkat kepada hampir 50,000 orang.

Gunung berapi yang terletak kira-kira 75 kilometer dari hab pelancongan Kuta itu telah mengeluarkan bunyi berderum sejak Ogos lalu, dikhuatiri meletus buat kali pertama dalam tempoh 50 tahun, lapor Agensi Berita Antarabangsa AFP.

Sementara itu, beberapa negara termasuk Australia, New Zealand, Singapura, Amerika Syarikat dan Britain mengeluarkan notis amaran semalam supaya menjauhi pusat tumpuan pelancong antarabangsa itu.

Agensi Pengurusan Bencana Indonesia (BNPB) menyatakan seramai 48,540 orang sudah melarikan diri, walaupun angka sebenar dijangka terus meningkat kerana terdapat lebih 60,000 orang menetap di kawasan zon berbahaya itu.

Gunung Agung12“Masih terdapat penduduk yang enggan berpindah,” kata jurucakap BNPB, Sutopo Purwo Nugroho pada sidang akhbar semalam.

“Alasan paling utama mereka ialah gunung berapi itu masih belum meletus. Keduanya, mereka enggan meninggalkan haiwan ternakan masing-masing.”

Pihak berkuasa mengeluarkan amaran tahap tertinggi pada Jumaat lalu susulan peningkatan aktiviti vulkanik dan memberitahu orang ramai supaya berada sekurang-kurangnya 9 kilometer daripada kawah gunung berapi itu.

Mereka yang berpindah ditempatkan di kawasan penempatan sementara atau tinggal bersama saudara-mara masing-masing.

Sejumlah 2,000 ekor lembu juga dipindahkan daripada kawasan kawah gunung berapi itu.

Seorang lelaki, Nengah Satiya yang meninggalkan rumah bersama isterinya tiga hari lalu kembali ke zon berbahaya untuk menguruskan babi dan ayam peliharaannya.

“Ada banyak haiwan ternakan di kampung kami dan tiada sesiapa yang menguruskan binatang ini,” katanya.

Bagaimanapun lapangan terbang di kota Denpasar, Bali yang menerima berjuta-juta pelancong asing setiap tahun, dilaporkan tidak terjejas.

=EZY=