Categories
SELANGOR

Hapus data, SPR jejas proses demokrasi pengundi Selangor

OLEH ERMIZI MUHAMAD

PUTRAJAYA, 27 SEPT: Kerajaan Negeri kesal berhubung tindakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menghapuskan data membabitkan jumlah pengundi seramai 136,000 di negeri itu.

Exco Pelaburan, Perindustrian Industri Kecil Sederhana (IKS) serta Perdagangan dan Pengangkutan, Dato’ Teng Chang Khim berkata, tindakan itu melanggari prinsip demokrasi berpelembagaan negara.

Katanya, ia sekali gus menimbulkan kesukaran di pihak Kerajaan Negeri untuk mengemukakan bukti sebagai bantahan berhubung langkah persempadanan baru oleh SPR.

“Isu ini berkait sentimen Perlembagaan dan boleh menjejaskan hak rakyat Selangor untuk mengundi dalam sistem adil bagi memilih kerajaan melalui proses demokrasi.

spr_600_1“SPR mengakui bahawa data pengundi sudah dihapuskan dan tentunya di pihak Kerajaan Negeri, kita cukup kesal dengan tindakan ini.

“Ini kerana langkah ini akan menjejaskan proses untuk mendapatkan bukti itu,” katanya kepada pemberita di perkarangan Istana Kehakiman, pagi ini.

Sebelum itu, Mahkamah Persekutuan mengenepikan permohonan Kerajaan Negeri menuntut SPR mengemukakan data 136,000 pengundi yang didakwa telah dimusnahkan.

Selain itu, mahkamah turut menolak permohonan Kerajaan Negeri membabitkan laporan dokumen asal yang digunakan untuk mendaftarkan diri pengundi sebagai pengundi dan aplikasi perisian komputer, Sistem Maklumat Geografi (GIS) yang digunakan dalam persempadanan semula di Selangor.

Sementara itu, peguam Latheefa Koya memaklumkan, akan membuat semakan kehakiman bagi lanjutan pengurusan kes berkenaan sebagai halangan kebenaran bagi proses laporan persempadanan baru oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, diteruskan di Parlimen.

=EZY=