Categories
SELANGOR

Jangan promosikan Malaysia sebagai destinasi arak

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 18 SEPT: Malaysia yang sering dilaungkan sebagai negara Islam tidak sewajarnya dipromosikan sebagai destinasi minuman arak menerusi Better Beer Festival 2017.

Naib Presiden PAS, Dato’ Iskandar Abdul Samad berkata, acara itu diuar-uarkan dengan begitu gah sehingga menampakkan negara majoriti Islam sebagai destinasi utama minuman keras di rantau ini.

Katanya, ia melibatkan isu besar dan mesti diberi perhatian pihak berkaitan.

Iskandar Abdul Samad“Ini bukan isu PAS tetapi isu umat Islam kerana ia boleh beri kesan buruk kepada negara.

“Kita tidak menghalang bukan Islam minum tetapi jangan sampai ada festival promosi negara ini sebagai destinasi arak.

“Kita bukan halang tetapi kita mohon jaga sensitiviti umat Islam,” katanya kepada pemberita.

Beliau ditemui sejurus selesai menyempurnakan Majlis Ramah Mesra Bersama Media di sebuah hotel, di sini, hari ini.

Iskandar berkata, penganjuran festival itu bagaimanapun tidak pernah dibincangkan di peringkat Kerajaan Negeri.

Terdahulu, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengumumkan pihaknya menolak permohonan penganjuran festival yang dijangka diadakan pada 6 hingga 7 Oktober ini.