Categories
SELANGOR

Persekutuan disaran beri rizab kereta api kepada rakyat

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 18 SEPT: Kerajaan Persekutuan disaran mempertimbang pemberian tanah kepada peneroka bandar yang menduduki tanah rizab yang diberikan kepada Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) sebelum ini.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Kehidupan Bandar, Dato’ Iskandar Abdul Samad berkata, KTMB kini adalah entiti swasta dan tanah berkenaan dibimbangi digunakan bagi tujuan lain selain kereta api.

Katanya, perkara itu sudah berkali dibincangkan namun, Perbadanan Aset Keretapi bertegas bahawa mereka masih memerlukan rizab kereta api.

CP2A5465“Kita minta rizab dibatalkan dan diberikan kepada penduduk sebab kita melihat mustahil untuk keretapi lalu di kawasan berkenaan.

“Lagipun, penduduk sudahpun menduduki kawasan berkenaan bagi satu tempoh lama, maka wajarlah dipertimbangkan untuk diberikan kepada mereka,” katanya kepada pemberita.

Beliau ditemui sejurus selesai menyempurnakan Majlis Ramah Mesra Bersama Media di sebuah hotel, di sini, hari ini.

Antara rizab kereta api yang diduduki peneroka bandar termasuk di Kuang, Ijok dan Rawang.

Iskandar berkata, terdapat juga kediaman peneroka bandar di rizab jalan, rizab sungai, rizab Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan lain-lain.

“Jika sesuai, kita akan syorkan agar mereka diberikan hak milik.

“Jika perlu juga, kita akan pindahkan mereka ke tapak lain yang sesuai atau tawarkan Rumah Selangorku,” katanya.