Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Saifudin nafi letak jawatan, maafkan pencetus khabar angin

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 7 SEPT: Setiausaha Agung KEADILAN, Datuk Saifuddin Nasution berkata khabar angin berhubung perletakkan jawatannya dalam parti itu adalah tidak benar.

Beliau percaya khabar angin itu dikaitkan dengan dirinya yang dikatakan tidak berpuas hati dengan arahan Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkenaan rundingan dengan PAS.

“Ekoran daripada itu saya dikecam dan akibatnya saya kecewa, adalah jelas ini satu adu domba daripada pihak yang tidak mahu melihat KEADILAN terus stabil dan Pakatan Harapan terus kuat.

“Saya maklumkan bahawa komitmen saya bersama KEADILAN dan Pakatan Harapan dan khabar saya meletak jawatan adalah tidak benar.

“Kepada pihak yang berusaha mencipta khabar itu, menyebarkan dan kemudian merayakannya, saya maafkan,” katanya dalam kenyataan selepas perbincangannya dengan Presiden KEADILAN, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail pagi tadi.

Terdahulu, Saifuddin menghadiri mesyuarat bersama Pengerusi Arakan Rohingya National Organisation, Nurul Islam di London selama enam hari.

Katanya, walaupun berada di luar negara beliau sering berhubung dengan pimpinan utama KEADILAN dan Pakatan Harapan.

“Pimpinan utama KEADILAN dan Pakatan Harapan amat maklum akan komitmen saya terhadap parti dan Pakatan Harapan. Saya terlibat dengan setiap keputusan parti dan keputusan Pakatan Harapan dan sudah tentu saya patuh dengan semua keputusan yang dibuat,” katanya.