Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Kekal KDNK tertinggi, Selangor ‘Golden State’ negara

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 7 SEPT: Selangor menjadi penyumbang terbesar Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi tempoh berakhir 2016 sekali gus memberi gambaran jelas tahap kemajuan pertumbuhan ekonomi negeri.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, pertumbuhan positif itu juga menjadi penanda aras bahawa kemajuan ekonomi berada pada landasan terbaik kini.

“Berdasarkan laporan terkini KDNK dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia, Selangor menyumbang 22.7 peratus mendahului negeri-negeri lain.

MB AZMIN“Kejayaan ini menjadi mesej jelas kepada Putrajaya bahawa Selangor sebagai ‘Golden State’ (negeri emas) negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Selangor International Business Summit 2017 di Setia City Convention Centre (SCCC) di sini, pagi ini.

Mohamed Azmin berkata, pertumbuhan positif itu didorong hasil perkembangan prospek pelaburan negeri yang berdaya saing dan kompetitif.

“Kita tentunya amat gembira apabila Selangor sekali lagi menjadi penyumbang tertinggi bagi tempoh dua tahun berturut-turut iaitu pada 2015 sebanyak 22.6 peratus bersamaan RM240 bilion.

“Sementara itu, bagi tahun 2016, peratusan Selangor meningkat kepada 22.7 peratus dan ini membuktikan Selangor sebagai destinasi popular pelaburan domestik dan antarabangsa,” katanya.

Jabatan Perangkaan Malaysia mendedahkan, Selangor mendahului Wilayah Persekutuan yang berada di kedudukan kedua dengan perolehan 15.5 peratus.

Ia diikuti Sarawak (9.8 peratus), Johor (9.4 peratus), Pulau Pinang (6.7 peratus) dan Sabah (6.7 peratus).

Jabatan Perangkaan turut melaporkan lapan negeri melebihi paras pertumbuhan nasional (4.2 peratus) pada 2016.

Wilayah Persekutuan Labuan mencatatkan pertumbuhan (7.2 peratus), Johor (5.7 peratus), Pulau Pinang (5.6 peratus), Selangor (4.8 peratus), Kelantan (4.8 peratus), Sabah (4.7 peratus) dan Melaka (4.5 peratus).