OLEH ERMIZI MUHAMAD
SHAH ALAM, 7 SEPT: Kerajaan Negeri Selangor dan Pulau Pinang memeterai memorandum persefahaman hubungan kerjasama pembangunan inisiatif bandar pintar membabitkan kedua-dua negeri itu.
Perjanjian ditandatangani Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Dato’ Mohd Amin Ahmad Ahya dan Pegawai Kewangan Negeri Pulau Pinang, Dato’ Sarul Bahiyah Abu di Setia City Convention Centre (SCCC), petang ini.
Permeteraian disaksikan Exco Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains, Teknologi dan Inovasi Selangor, Nik Nazmi Nik Ahmad dan Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalu Lintas dan Tebatan Banjir Pulau Pinang, Chow Kon Yeow.
Menurut perjanjian itu, Jawatankuasa Bandar Pintar terdiri daripada wakil kedua-dua negeri ditubuhkan bagi merealisasikan perancangan dan pelaksanaan usaha bagi aktiviti yang dilaksanakan di bawah perjanjian persefahaman itu.
Memorandum persefahaman turut ditandatangani sebagai inisiatif secara bersama untuk melaksanakan pembangunan Bandar Pintar yang mula dilaksanakan di Selangor sejak 2014.
Di Selangor, pembangunan bandar pintar dilaksanakan secara positif menerusi pembangunan Selangor Cyber Valley yang mendukung kepada pelaksanaan gagasan Smart State.
Terdahulu, Selangor mendahului negeri lain dengan mendukung agenda pembangunan negeri pintar, Smart Selangor meliputi beberapa komponen antaranya internet of things, bandar hijau, jaringan pengangkutan dan pelaksanaan dasar bermanfaat buat seluruh masyarakat.