Categories
NASIONAL

Tiada lagi teka teki pilihan raya jika Pakatan menang PRU-14?

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 7 SEPT: Penganalisis politik, Prof Dr Shaharuddin Badaruddin berpendapat pindaan perlembagaan persekutuan boleh dilakukan kerajaan memerintah selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) bagi membolehkan sistem pilihan raya dijalankan dengan lebih telus dan adil kepada semua parti bertanding.

Katanya, antara pilihan terbaik adalah membuat pindaan membebaskan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) daripada cengkaman Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan dipindahkan di bawah kuasa Yang Dipertuan (YDP) Agong.

“Sekarang memang menjadi teka teki bila pilihan raya, bergantung kepada waktu pemerintah kuat atau bila ada ‘wow factor’, waktu itulah pilihan raya dilaksanakan mengikut kesesuaian.

Prof_Dr_Shaharuddin_Badaruddin“Pada masa ini, pembubaran parlimen oleh YDP Agong dengan nasihat Perdana Menteri. Daripada situlah SPR akan menentukan bilakah tarikh pilihan raya tetapi masalahnya di Malaysia ini SPR diletakkan di bawah JPM.

“Keduanya, yang nak menentukan pembubarkan parlimen itu juga bergantung atas nasihat Perdana Menteri kepada YDP Agong dan ini menjadikan Perdana Menteri mempunyai kuasa cukup besar menentukan bila pilihan raya dijalankan,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Pengarah Institut Darul Ehsan (IDE) itu juga berkata, kedudukan YDP Agong sebagai Ketua Negara sepatutnya berkuasa bagi menetapkan masa pembubaran parlimen dan seterusnya tarikh pilihan raya lebih awal tanpa perlu mendapat nasihat Perdana Menteri.

Katanya, pada masa ini Yang Dipertuan Agong juga mempunyai ahli majlis mesyuaratnya tersendiri seperti Majlis Raja-raja bagi memutuskan sebarang keputusan penting melibatkan kepentingan negara.

Bagaimanapun, katanya lagi, sebarang pindaan yang mahu dibuat perlulah menekankan aspek keseimbangan kuasa antara kuasa YDP Agong dan parti menguasai kerajaan.

Katanya, selain itu tarikh pembubaran parlimen dan pilihan raya juga boleh ditetapkan lebih awal lagi walaupun tiada pindaan perlembagaan dibuat sekiranya wujud semangat demokrasi yang kuat di dalam pentadbiran sesebuah kerajaan.

undi“Katakanlah penggal baru pentadbiran pada 2018 dan matang pada 2023, pilihan raya sudah boleh diumumkan pada 2023 dan sekiranya tak patuh pada janji, dia akan dihukum oleh rakyat tetapi kaedah ini tetap tidak terikat dengan Perlembagaan Persekutuan.

“Katakanlah dia kata nak bubar pada Mac 2023 tetapi tanpa adanya ikatan perundangan, tetap ada risiko janji tinggal janji. Walaupun kita katakan dia akan dihukum oleh rakyat kerana mungkir janji tetapi kita tahu rakyat mudah lupa,” kata Shaharuddin yang juga Timbalan Naib Canselor Universiti Selangor (UNISEL).

Mengambil contoh negara luar seperti Amerika Syarikat dan Indonesia, Shaharuddin berkata, tarikh pilihan raya diumumkan lebih awal dan sekaligus membolehkan pilihan raya dijalankan dengan lebih adil kepada semua parti bertanding.

Bagaimanapun, berbanding negara yang mengamalkan sistem berpresiden, Malaysia merupakan negara yang mengamalkan sistem berparlimen yang memerlukan pindaan perlembagaan persekutuan dijalankan.