Categories
NASIONAL

Tun M: Pertemuan Najib-Trump kemuncak campur tangan asing

SHAH ALAM 6 SEPT: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak ke Amerika Syarikat (AS) kemuncak campur tangan asing dalam urusan negara.

Najib Razak dijadualkan bertemu Presiden AS, Donald Trump di Rumah Putih pada 12 September ini.

Tun Mahathir menyatakan kebimbangannya itu semasa wawancara bersama portal The Malaysian Insight secara langsung melalui Facebook hari ini.

“Sekarang dia (Najib) pula pergi jumpa Trump.

Donald Trump“Jelas sekali untuk cuba membersihkan imejnya di negara ini. Inilah kemuncak campurtangan asing dalam politik negara kita,” kata Tun Mahathir.

Tun Mahathir bagaimanapun percaya rakyat Malaysia tidak terpengaruh dengan usaha Najib memujuk Trump.

“Itulah yang dia harap akan berlaku tetapi saya tidak fikir rakyat negara ini akan terpengaruh,” katanya.

Sebelum ini, kolumnis Washington Post, Josh Rogin menulis pada Ahad lalu, Najib dan Trump sama-sama terlibat dalam siasatan besar Jabatan Keadilan AS (DOJ).

Bekas duta AS ke Malaysia, John R Malott turut menulis lawatan itu tidak akan membantu Najib, termasuk dalam usaha DOJ AS menyita aset berkaitan 1MDB yang didakwa ‘dicuci’ ke dalam sistem kewangan negara itu.

Katanya, semua pihak tahu berkaitan dakwaan skandal Najib di Malaysia dan perkara itu tergambar dalam laporan media AS.

=EZY=