Categories
ALAM SEKITAR & CUACA NASIONAL

Cuaca panas: Pastikan ambil air mencukupi

SHAH ALAM 25 OKT: Orang ramai dinasihatkan mengambil langkah berjaga-jaga dengan memastikan kadar pengambilan air mencukupi bagi mengelakkan kejadian dehidrasi terutama ketika cuaca panas dan kering ketika ini.

Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkataorang awam jelasnya, dinasihatkan berjaga-jaga dengan tanda-tanda strok haba seperti sakit kepala, lidah bengkak, tidak berpeluh, lesu, hilang fokus dan pengsan.

“Sekiranya keadaan ini berlaku, orang awam hendaklah segera mendapatkan rawatan,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Menurut Jabatan Meteorologi, fenomena cuaca panas itu berlaku disebabkan oleh taufan Lan yang kini berada di selatan Jepun sedang bergerak ke utara dan mula menjauhi negara ini.

Keadaan itu menyebabkan wap air di ruang udara negara ini tertumpu ke kawasan taufan ber­kenaan lantas menyebabkan pertambahan suhu.

Kata Noor Hisham, berdasarkan definisi Jabatan Meteorologi, suhu normal maksimum harian adalah antara 28.6 ke 35 darjah Celsius dan ketika ini, suhu maksimum Semenanjung Malaysia tidak mencapai 35 darjah Celsius.

Namun begitu, katanya, orang ramai diingatkan supaya bersiap sedia dan mengambil tindakan sewajarnya bagi menghadapi situasi sekiranya cuaca semakin bertambah panas dan berterusan.

“Nasihat Kementerian Kesihatan bagi situasi ini boleh diperoleh daripada laman web kementerian.

“Kementerian juga sentiasa memantau situasi cuaca di Malaysia melalui laman web Jabatan Meteorologi di http://www.met.gov.my,” katanya.

=EZY=