Categories
PBT SELANGOR

Belanjawan 2018 MBSA anggar hasil RM461.8 juta

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 1 OKT: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) mengumumkan Belanjawan 2018 iaitu belanjawan defisit, dengan anggaran hasil RM461.8 juta dan anggaran perbelanjaan RM484.3 juta.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam, Shahrin Ahmad berkata, defisit RM22,535,860 juta bakal ditampung dengan rezab MBSA.

“Diharap dengan Belanjawan 2018 ini, MBSA akan dapat merancang dan meningkatkan perkhidmatan perbandaran seperti kutipan sisa pepejal, pembersihan awam, penyenggaraan jalan dan longkang.

“MBSA juga berhasrat membina lebih banyak kemudahan dan infrastruktur awam seperti gerai serta kemudahan sukan dan riadah untuk manfaat dan kesejahteraan masyarakat di kawasan pentadbiran MBSA,” katanya.

MBSA04Pembentangan Belanjawan 2018 diumumkan Datuk Bandar, Dato’ Ahmad Zaharin Mohd Saad ketika Mesyuarat Penuh, di Wisma MBSA, di sini, pada 27 September lalu.

Shahrin berkata, MBSA turut memperuntuk hampir RM20 juta untuk melaksanakan 10 projek pembangunan di kawasan pentadbirannya di bawah Belanja Pembangunan.

Ia termasuk kerja membina gerai di Seksyen U6 dengan kos RM4 juta, membina gerai dua tingkat di Jalan U10/A (RM3 juta), meningkatkan kualiti air di Taman Tasik Shah Alam (RM2 juta), membina Pusat Sukan Lasak dan Trek Basikal Kanak-kanak di Taman Tasik Shah Alam (RM2 juta) dan membina Trek Basikal sepanjang 21km (RM2 juta).

Projek lain meliputi kerja menaik taraf sistem saliran projek tebatan banjir Seksyen 25 (RM1.5 juta), membina gerai dan kedai dua tingkat di Jalan Utas 15/7 (RM1.5 juta), mereka bentuk dan membina Pusat Perkhidmatan Setempat di Wisma MBSA (RM1.2 juta).

Turut sama diberi fokus adalah membina kiosk di Seksyen U19, Bandar Baru Sungai Buloh, Seksyen 20 dan Jalan NU5/N, Seksyen U5 (RM1 juta) serta meroboh dan membina semula 20 unit gerai di Seksyen 17 (RM1 juta).

=EZY=