Categories
BERITA UTAMA SELANGOR SUKANKINI

Kali pertama anjur, Tour De Selangor berjaya – MB

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 21 OKT : Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali menyifatkan penganjuran julung kalinya Tour De Selangor sebagai kejayaan terbesar kejohanan sukan berbasikal di Selangor.

Beliau berkata, kejayaan itu membuka peluang kepada pentadbiran negeri menjayakan program berskala besar meliputi aspek sukan yang turut disertai pelumba dari dalam dan luar negara.

“Saya ucapkan tahniah kepada Majlis Sukan Negeri Selangor (MSN) khususnya Exco bertanggungjawab, Amirudin Shari yang memimpin usaha penganjuran ini yang dilihat sangat bermanfaat kepada sukan berbasikal negeri.

“Walaupun ini kali pertama dianjurkan, kita berjaya menjelajah sejauh 558 kilometer ke seluruh daerah di Selangor kecuali Sabak Bernam.

“Matlamat kita mengajurkan program seperti ini tentunya bukan sahaja untuk memupuk budaya sihat dalam kalangan belia, tetapi ia sekali gus dapat memperkenalkan Selangor kepada masyarakat luar,” katanya kepada SelangorKini.

Mohamed Azmin berkata, penganjuran kejohanan seumpama itu juga boleh mecungkil bakat-bakat muda untuk lebih positif terlibat dalam aktiviti bersukan di negeri ini.

“Kita mengharapkan agar lebih ramai lagi bakat muda menerusi sukan berbasikal ini dapat dilahirkan pada masa akan datang demi kemajuan sukan negeri dan Malaysia secara amnya,” katanya.

Terdahulu, Mohamed Azmin hadir pada Majlis Penutupan Kejohanan Berbasikal Tour De Selangor 2017, di Dataran Kemerdekaan Shah Alam.

Kejohanan itu menyaksikan pelumba Team Sapura Cycling (TSC) Muhammad Zawawi Azman muncul juara keseluruhan perlumbaan basikal Tour De Selangor pada jarak keseluruhan 558 kilometer.

Muhammad Zawawi berjaya menamatkan saingan perlumbaan kesemua lima peringkat perlumbaan pada catatan masa 13 jam 05 minit 12 saat.

=EZY=