Categories
GLOBAL

Kebakaran hutan antara terburuk dalam sejarah AS

CALIFORNIA 10 OKT: Sekurang-kurangnya 10 terkorban dan banyak rumah serta premis musnah dalam kejadian kebakaran antara yang terburuk dalam sejarah Amerika Syarikat (AS).

Agensi Berita Antarabangsa AFP melaporkan kebakaran itu memusnahkan sekurang-kurangnya 1,500 bangunan dan memaksa negeri itu membuat pengisytiharan darurat di tiga daerah paling teruk dilanda kebakaran.

Kebakaran yang bermula malam Ahad lalu diburukkan lagi dengan tiupan angin kencang selaju 80 kilometer sejam.

Pasukan bomba California berkata, kebakaran hutan itu sudah memusnahkan kawasan seluas 30,000 hektar.

“Pejabat Sheriff mengesahkan tujuh kebakaran mengorbankan nyawa yang disahkan pasukan bomba Sonoma. Takziah kepada keluarga dan rakan mereka,” tulis Sheriff Sonoma.

Kebanyakan kawasan yang terbakar membabitkan wilayah pengeluar wain terkenal.

Secara keseluruhan terdapat 14 kebakaran utama membabitkan daerah Napa, Sonoma dan Yuba. Ketiga-tiga daerah ini mendapat perlindungan atas perintah Gabenor Jerry Brown.

Pemindahan besar-besaran turut melibatkan lebih 20,000 penduduk di daerah Napa, Sonoma dan Yuba.

=EZY=