Categories
NASIONAL

Kerajaan Oman larang pelajar terus pengajian di 4 IPT Malaysia

SHAH ALAM, 2 OKT : Kerajaan Oman melarang pelajarnya meneruskan pengajian di empat Institut Pengajian Tinggi (IPT) negara ini.

Jawatankuasa Pengiktirafan Institusi Pengajian Tinggi Luar-Oman dan Kesesuaian Kelayakan Pendidikan, di Kementerian Pengajian Tinggi negara itu mengeluarkan keputusan untuk berhenti berurusan dengan beberapa universiti di Malaysia.

IPT itu adalah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Universiti SEGI, Limkokwing Universiti Teknologi Kreatif dan Binary University of Management & Entrepreneurship.

“Pelajar Oman tidak dibenarkan melanjutkan (pengajian) di institusi pendidikan yang disebutkan di atas selepas keputusan ini dikeluarkan,” kata jawatankuasa itu lapor Times Of Oman.

OMAN TIMESPortal itu melaporkan, keputusan itu dibuat selepas merujuk pelbagai ‘kegagalan’ yang dikaitkan dengan IPT berkenaan.

“Kebanyakan alasan ini adalah akademik dan pentadbiran, termasuk kewujudan aduan terhadap universiti-universiti ini oleh beberapa pelajar Oman yang belajar di sana.

“Universiti-universiti ini tidak mematuhi beberapa undang-undang negara seperti pelajar mendaftar, yang membolehkan mereka belajar (memperoleh) visa pelancong.

“Kebanyakan universiti-universiti ini tidak bekerjasama dalam menyelesaikan kesukaran yang dihadapi oleh pelajar Oman di negara itu,” lapor portal itu.

Selain Malaysia, beberapa Universiti di Switzerland turut dilaporkan atas alasan tidak diiktiraf pihak berkuasa Swtzerland.

SelangorKini sedang menghubungi empat IPT itu dan pihak berkaitan bagi memberikan penjelasan dan butiran lanjut berkenaan isu itu.

=EZY=