Categories
PENDIDIKAN SELANGOR

Konvokesyen UNISEL ke-12 lebih istimewa

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 31 OKT: Istiadat Konvokesyen Universiti Selangor (UNISEL) kali ke-12, yang dijadual berlangsung hujung minggu ini, membawa makna dan mesej tersendiri.

Presiden dan Naib Canselornya, Prof Dato’ Dr Mohammad Redzuan Othman berkata, istiadat itu bakal diraikan seiring kejayaan dicapai UNISEL ke arah institusi lebih berdaya saing.

Katanya, ia termasuk pelaksanaan program transformasi, pembukaan kampus di Bangladesh dan Selangor Business School di Menara PKNS.

“Semua ini membawa mesej kepada graduan, ibu bapa dan masyarakat bahawa UNISEL kini sudah bergerak jauh ke hadapan untuk tingkatkan kecemerlangan.

“Kita mahu semua tahu bahawa UNISEL sudah melakukan pelbagai inisiatif untuk imej lebih positif dengan pencapaian yang membanggakan,” katanya kepada SelangorKini.

Mohammad Redzuan berkata, program transformasi UNISEL merangkumi dua aspek iaitu luaran dan dalaman UNISEL.

“Kini, kita dapat lihat bangunan lebih ceria, sambungan internet lebih canggih dan kemudahan lebih banyak bagi memberi lebih keselesaan dan persekitaran lebih membina untuk pelajar.

“Dari segi dalaman pula, ia membabitkan proses pengajaran dan pembelajaran dengan menggalakkan ‘E-Learning’, ‘multi-tasking’ serta ‘multi-discipline’,” katanya.

Seramai 2,283 graduan layak menghadiri Istiadat Konvokesyen UNISEL ke-12 yang bakal berlangsung di Kampus Bestari Jaya, pada 3 dan 4 November ini.

=EZY=