Categories
SELANGOR

Tempoh perkhidmatan Ahli Majlis dilanjutkan ke 30 Jun 2018

OLEH LIZAWATI MADFA

SERDANG, 31 OKT: Kerajaan Negeri melanjutkan tempoh perkhidmatan Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang bakal tamat pada 31 Disember ini, ke 30 Jun 2018.

Exco Kerajaan Tempatan, Pembangunan Kampung Baru dan Pemutihan Kilang Haram, Ean Yong Hian Wah berkata, keputusan dibuat menerusi Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pada 20 September lalu.

Katanya, ia melibatkan seramai 283 Ahli Majlis di kesemua 12 PBT di seluruh Selangor.

“Ahli majlis yang terlibat adalah wakil parti KEADILAN seramai 100 orang, DAP (93), PAS (67) dan Amanah (sembilan).

“Wakil lain termasuk daripada Badan Bukan Kerajaan (NGO) dengan lima orang, Orang Besar Daerah (sembilan) dan lima lagi yang masih kekosongan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Pusat Khidmat Komuniti DAP Serdang, di sini, hari ini.

Ean Yong berkata, MMKN juga membuat keputusan melanjutkan tempoh perkhidmatan pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Baru, Bagan dan Tersusun.

Katanya, mesyuarat pada 4 Oktober lalu, memutuskan tempoh perkhidmatan yang tamat pada 22 Oktober dan 31 Disember 2017 dilanjutkan ke 30 Jun 2018.

“Ia termasuk pelantikan JKKK biasa seramai 74 orang yang dijadual tamat tempoh pada 31 Disember ini, sementara tiga lagi merupakan projek perintis yang tamat pada 22 Oktober lalu,” katanya.

=EZY=