Categories
EKONOMI SELANGOR

“Lagi banyak beri rakyat, lagi banyak Allah turunkan rezeki”

OLEH NAZLI IBRAHIM

TANJONG KARANG, 7 OKT: Kerajaan Negeri yakin Negeri Selangor akan terus mendapat limpahan rezeki walaupun membelanjakan berbilion ringgit demi memastikan kesejahteraan rakyatnya.

Dato’ Menteri Besar , Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, hal ini terbukti apabila rizab Kerajaan Negeri terus mencatatkan peningkatan walaupun Kerajaan Negeri mengeluarkan peruntukan yang besar untuk membiayai pelbagai program termasuk Inisiatif Peduli Rakyat (IPR).

“Apalah sangat RM280,000 sedangkan kita ada rizab RM3.5 bilion. Lagi banyak saya berikan kepada rakyat, lagi banyak Allah turunkan rezeki kepada Kerajaan Negeri. Alhamdullilah.

“Saya tak tahu nak buat apa duit banyak-banyak ini. Saya tidak masuk ke akaun peribadi, saya tak buat mahligai tetapi saya berjanji di hadapan tuan-tuan dan puan-puan saya akan pastikan setiap sen kekayaan Negeri Selangor saya akan kembalikan kepada rakyat Selangor,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Menyemarak Inisiatif Peduli Rakyat dan Ramah Mesra Bersama YAB Dato’ Menteri Besar Selangor di Masjid Al-Munawarah, Sawah Sempadan di sini, semalam.

Jelasnya, hal ini dibuktikan apabila Selangor kekal muncul sebagai penyumbang terbesar ekonomi negara.

Katanya, ekonomi Selangor sentiasa dirancang dengan penuh teliti bagi memastikan ekonominya terus berkembang dan menarik perhatian pelabur antarabangsa.

“Sebulan lalu pelabur daripada Sweden, IKEA setuju meletakkan pelaburan di Selangor berjumlah RM1 bilion.

“Kita bersaing dengan Johor tetapi akhirnya Selangor menang, Johor tewas untuk mendapatkan pelaburan daripada Sweden itu,” katanya.

=EZY=