Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Dr Mahathir jumpa pemimpin utama politik di Putrajaya

PUTRAJAYA, 25 FEB: Perdana Menteri Sementara, Tun Dr Mahathir Mohamad mengadakan pertemuan bersama tokoh pemimpin politik di Pejabat Perdana Menteri di sini hari ini.

Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan memaklumkan, antara pemimpin parti politik yang hadir Datuk Patinggi Dr Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg (Gabungan Parti Sarawak), Tan Sri Muhyiddin Yassin (Bersatu) dan Datuk Seri Anwar Ibrahim (KEADILAN).

Pemimpin lain Lim Guan Eng (DAP), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi (UMNO), Datuk Seri Abdul Hadi Awang (PAS) dan Mohamad Sabu (Amanah).

Kenyataan sama memberitahu, Dr Mahathir turut mengadakan pertemuan dengan Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

Beliau dijadual bertemu Presiden Parti Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal esok.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Tun M harap lebih banyak kerjasama dengan Turkmenistan

ASHGABAT (Turkmenistan), 27 OKT: Tun Dr Mahathir Mohamad berharap lawatannya ke Turkmenistan akan menghasilkan lebih banyak interaksi dan kerjasama antara Malaysia dan Turkmenistan.

Perdana menteri yang dalam rangka lawatan rasmi dua hari ke Turkmenistan bermula hari ini, berkata kedua-dua negara boleh bekerjasama dalam banyak bidang untuk membangunkan negara masing-masing.

Sebagai contoh, kata beliau, Malaysia kini beralih dari negara yang terlibat dalam industri automotif ke industri aeroangkasa.

“Industri Malaysia kini mengambil kesempatan daripada rantaian bekalan untuk industri lain … industri canggih. Kami kini beralih dari industri automotif ke industri aeroangkasa. Kami terlibat dalam banyak kerja kejuruteraan untuk aeroangkasa.

“Ini juga boleh kami bertukar kerana industri aeroangkasa memerlukan rantaian bekalan yang sangat besar. Enjin pesawat mempunyai kira-kira 30,000 bahagian dan bahagian-bahagiannya tidak boleh dihasilkan oleh negara yang mengeluarkan enjin.

“Mereka perlu mendapatkan bahagian berkenaan dari tempat lain dan ini memberi peluang kepada banyak negara untuk ke negara ini pada tahap pembuatan komponen. Oleh itu, kami ingin melihat bagaimana boleh bekerjasama dengan Turkmenistan dalam bidang itu,” katanya dalam kenyataan media bersama pada akhir pertemuan dengan Presiden Turkmenistan Gurbanguly Berdimuhamedov di Istana Presiden di sini pada Ahad.

Delegasi Malaysia termasuk Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah, Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Duta Besar Malaysia ke Turkmenistan, Roseli Abdul.

Mengenai penglibatan Petroliam Nasional Bhd (Petronas) dalam kerja-kerja penerokaan minyak dan gas di Turkmenistan, Dr Mahathir berharap syarikat minyak negara itu akan terus terlibat secara aktif dalam industri berkenaan.

Pada 1996, Petronas memperoleh lesen Kontrak Perkongsian Pengeluaran (PSC) selama 32 tahun bagi penerokaan dan pengeluaran minyak dan gas di kawasan luar pesisir Blok-1 di Laut Caspian.

Turkmenistan mempunyai rizab gas asli keempat terbesar di dunia selepas Rusia, Iran dan Qatar, dengan rizab terbukti dianggarkan sebanyak 20 trilion meter padu.

Namun jumlah itu mungkin lebih tinggi kerana masih banyak simpanan gas asli di negara ini masih belum diterokai.

“Kami juga sedang mencari kerjasama baru… Turkmenistan menghasilkan banyak kapas, dan Malaysia berhasrat meninjau industri ini. Ini tidak pernah dipromosikan di Malaysia sebelum ini,” katanya.

Dr Mahathir juga memberi jaminan bahawa pelajar Turkmenistan yang belajar di Malaysia tidak akan terdedah kepada budaya yang tidak baik seperti di beberapa negara lain.

Beliau berkata pelajar juga boleh berfungsi sebagai penghubung dalam mengukuhkan hubungan antara kedua-dua negara.

Sementara itu, Berdimuhamedov berkata perkongsian dengan Malaysia adalah penting, dan menggambarkan Malaysia sebagai sebuah negara yang mesra.

“Kami akan terus membangunkan hubungan dua hala kami. Tun Mahathir sejak awal kemerdekaan kami telah banyak menyumbang kepada pembangunan kami. Kami mengucapkan terima kasih di atas sumbangannya dan kepada negaranya yang mesra,” katanya.

Pada malam Ahad, Dr Mahathir dijadual menghadiri majlis makan malam bersama kira-kira 80 rakyat Malaysia yang tinggal dan bekerja di Turkmenistan.

Perdana menteri dan isteri dijangka berlepas ke Malaysia pada hari Isnin.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Adat, budaya tidak harus dipinggirkan – Tun Mahathir

KUALA LUMPUR, 20 SEPT: Generasi masa kini tidak harus membiarkan nilai kemanusiaan, adat dan budaya terhakis serta terpinggir dalam mengejar kejayaan di era moden masa kini, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Malah perdana menteri berkata, arus kemajuan di era digital dan automasi seharusnya mampu dimanfaatkan dalam membentuk anak bangsa yang lebih berjaya, dan pada masa sama tetap berpegang teguh kepada nilai, adat dan budaya.

“Kita sebenarnya membenarkan diri terperangkap dalam arus kemajuan era digital dan automasi. Kita seolah-olah tidak berupaya untuk menerap nilai-nilai yang baik apabila terpaksa mengejar kemodenan kerana tidak mahu ketinggalan.

“Sering terdengar rungutan bahawa generasi masa kini terbawa-bawa dengan modenisasi sehingga meminggirkan nilai kemanusiaan, adat dan budaya. Akibatnya, ada dalam kalangan kita tidak beradab dan keluar dari batasan agama,” katanya ketika berucap melancarkan Piagam Warisan dan Budaya Tanah Air di Muzium Kesenian Islam di sini, hari ini.

Piagam tersebut adalah hasil resolusi-resolusi yang telah dibentangkan pada Kongres Kebudayaan 1971 dan Kongres Budaya pada 2017 dalam melestari bidang warisan dan budaya negara.

Dr Mahathir menegaskan bahawa ramai bangsa yang berjaya pada hari ini adalah dalam kalangan mereka yang berpegang teguh kepada amalan-amalan dan nilai murni tersebut.

“Saya berharap Piagam Warisan dan Budaya Tanah Air ini akan membawa kita setapak lagi lebih dekat kepada mencapai pengisian masyarakat berbudaya tinggi termasuk kelestarian budaya Melayu yang utuh.

“Ia (piagam) juga diharap turut mempromosi Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan. Dewan Bahasa Pustaka ialah institusi yang bertanggungjawab untuk memartabatkan Bahasa Melayu, justeru, dengan adanya piagam baru ini perjuangan kita dalam menjiwai bahasa jiwa bangsa akan lebih berkesan lagi,” katanya.

Bagi tujuan tersebut, Dr Mahathir turut berharap semua jabatan kerajaan yang berkaitan akan saling bekerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam melahirkan bangsa Malaysia yang berjiwa besar, berbudaya tinggi serta mulia menerusi piagam tersebut.

Beliau berkata bagi memantapkan lagi usaha berkenaan lebih banyak universiti perlu berusaha menawarkan pengajian arkeologi bagi merungkai isu-isu perkembangan tamadun awal.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Perdana Menteri utus surat kepada Arab Saudi mohon kuota tambahan haji

 

KUALA LUMPUR, 27 Mei: Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad telah mengutus surat rasmi kepada kerajaan Arab Saudi berhubung permohonan kuota tambahan jemaah haji Malaysia bagi musim haji tahun ini, kata Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji (TH) Datuk Seri Zukri Samat.

Beliau berkata bagaimanapun buat masa ini Lembaga TH masih belum menerima sebarang jawapan rasmi berkenaan keputusan daripada kerajaan Arab Saudi berkenaan hal itu.

“Kita telah menggunakan saluran tertentu untuk membolehkan kita tetap mendapat kuota tambahan berkenaan. Kita amat berharap kalau tak dapat 10,000 kuota sekurang-kurangnya 8,000 masih berpeluang.

“Saya difahamkan perdana menteri sendiri telah mengutus surat kepada kerajaan Arab Saudi (baru-baru ini) berhubung kuota tambahan ini. Jadi kita harap jawapannya adalah secepat mungkin kerana musim haji sudah tidak lama lagi,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Khatam al-Quran dan World #QuranHour peringkat TH di sini, hari ini.

Kuota rasmi yang diperuntukan Arab Saudi kepada Malaysia bagi tahun ini adalah sebanyak 30,200 orang.

Ditanya sama ada TH yakin akan tetap mendapat kuota tambahan bagi jemaah haji Malaysia, Zukri berkata sukar untuk beliau menjangkakan hal itu memandang banyak faktor yang perlu diambil kira oleh Kerajaan Arab Saudi sebelum memutuskan perkara itu.

TH amat berharap agar kuota tambahan itu dapat diberikan bagi mengurangkan tempoh menunggu bakal haji yang jumlah tempohnya sekarang dianggarkan selama 120 tahun, katanya.

Menurutnya penerbangan pertama bagi jemaah haji Malaysia akan berlepas pada 4 Julai manakala penerbangan terakhir adalah pada 4 Ogos dan jangkaan hari wukuf adalah pada 10 Ogos bagi musim kali ini.

Dalam pada itu Zukri berkata TH yakin dapat memberikan pengagihan hibah bagi tahun kewangan 2019 yang lebih tinggi iaitu melebihi 1.25 peratus pada 2018 berikutan perkembangan positif dan pengurusan pemulihan yang baik dilaksanakan TH ketika ini. -BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA GLOBAL NASIONAL

Lawatan rasmi Tun M ke Singapura kukuhkan lagi hubungan baik dua negara

SINGAPURA, 12 NOV: Lawatan rasmi Tun Dr Mahathir Mohamad ke Singapura buat kali kedua sejak kembali menjadi Perdana Menteri tahun ini, akan mengukuhkan lagi hubungan baik dengan negara jiran di selatan itu, kata Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah.

“Ia bagi meningkatkan lagi hubungan dua hala antara kedua negara,” katanya dalam satu persidangan media di sini sempena lawatan rasmi Perdana Menteri ke negara republik itu.

Beliau berkata kerjasama antara kedua-dua negara berlangsung dengan baik dalam pelbagai bidang termasuk perdagangan, pelaburan, kesalinghubungan, pendidikan, pertahanan, pertanian dan komunikasi.

Lawatan dua hari itu adalah atas undangan Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong.

“Kita sangat tersentuh dengan lawatan Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong pada 19 Mei bagi menyampaikan ucapan tahniah kepada Tun Dr Mahathir sebaik beliau mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ke-7,” katanya.

 

“Suka saya tekankan lawatan itu adalah di luar amalan protokol biasa dan ia merupakan satu penghormatan, serta mempamerkan kesungguhan Singapura untuk mengekalkan hubungan baik sedia ada antara kedua negara,” tambahnya.

Merujuk kepada hubungan antara dua negara di bawah kerajaan Pakatan Harapan, Saifuddin berkata: “Ia tidak berubah dan keakraban sedia kita ingin terus pertingkatkan.”

“Apabila kita boleh selesaikan isu HSR (High Speed Rail).. itu menunjukkan kita boleh selesai dan menangani pelbagai isu untuk kepentingan bersama dengan begitu baik sekali,” katanya.

Ditanya mengenai agenda utama mesyuarat dua hala antara dua Perdana Menteri esok Saifuddin berkata “tiada agenda khusus” memandangkan “kita sudah selesaikan kebanyakan isu sejak beberapa bulan lalu termasuk berhubung HSR”.

“Objektif utama adalah untuk meningkatkan lagi hubungan baik antara Malaysia dan Singapura. Saya pasti kedua-dua Perdana Menteri akan dipandu oleh kebijaksanaan dalam mengetengahkan tajuk utama perbincangan. Bagi Wisma Putra kita tak nampak sebarang agenda khusus,” katanya.

“Mesyuarat dua hala biasa, dan sudah tentu isu perdagangan dan kesalinghubungan akan dibincangkan,” tambahnya.

Ditanya sekiranya isu berkaitan perjanjian air akan dibincangkan, Saifuddin berkata: “Semua ini bergantung kepada kedua-dua Perdana Menteri, dan seperti saya katakan tadi, kedua-dua mereka berada di kedudukan terbaik untuk melihat samada mereka akan membincangkan perkara ini”.

Lawatan ini adalah sebahagian daripada lawatan pengenalan peringkat tinggi Dr Mahathir ke negara-negara ASEAN selepas mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ke-7 Malaysia, dan beliau akan diiringi oleh isterinya Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali.

Dr Mahathir juga akan menemui para pemimpin lain Singapura termasuk Presiden Halimah Yacob; dan Menteri Kanan Emeritus Goh Chok Tong.

Antara program dalam lawatan ini termasuk pertemuan dengan diaspora Malaysia di Singapura.

Malaysia dan Singapura mempunyai hubungan diplomatik selama 53 tahun dan mengekalkan hubungan baik sebagai jiran paling dekat, dan juga rakan anggota ASEAN.

Kedua-dua negara memiliki kerjasama kukuh dalam pelbagai sektor termasuk perdagangan dan pelaburan.

Singapura adalah rakan dagang kedua terbesar Malaysia selepas China dan jumlah perdagangan antara dua negara tahun lepas ialah RM 220.88 bilion, yang mewakili 12.9 peratus daripada perdagangan global Malaysia.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Tun Mahathir dirawat di IJN

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 10 FEB: Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, kini dirawat di Institut Jantung Negara (IJN) akibat jangkitan paru-paru, sejak malam tadi.

Jabatan Komunikasi Korporat IJN berkata, Mahathir, 92, kini sudah berada di wad biasa.

“Mahathir dijangka dirawat untuk beberapa hari bagi membolehkan beliau menerima rawatan dan pemerhatian,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Malaysia 10 negara bebas rasuah, jika PAKATAN tadbir Putrajaya

OLEH ERMIZI MUHAMAD

PETALING JAYA, 15 OKT : Pakatan Harapan bertekad menjadikan Malaysia sebagai 10 negara paling bersih daripada amalan rasuah dan penyelewengan menjelang 2030.

Iltizam itu dinyatakan Pengerusi Gabungan itu, Tun Dr Mahathir Mohamad sekiranya kepimpinan negara beralih kepada pucuk pimpinan Pakatan Harapan.

“Pakatan Harapan berikhtiar untuk membersihkan Malaysia dari najis rasuah, bermula dari pimpinan tertinggi kerajaan.

“Kami bertekad untuk menjadikan Malaysia antara 10 negara paling bersih mengikut Indeks Persepsi RasuahTransparency International menjelang tahun 2030,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada himpunan anjuran Pakatan Harapan (HARAPAN) berlangsung malam tadi dengan mengambil slogan antikleptokrasi – Sayangi Malaysia Hapuskan Kleptokrasi – bertempat di Padang Timur, Petaling Jaya.

Tun Mahathir berkata, sekiranya Pakatan Harapan berjaya mentadbir negara, gabungan itu juga akan melaksanakan agenda anti rasuah, dalam tempoh 100 hari pertama pentadbirannya.

Lima tindakan itu adalah :

1. Menangkap MO1 dan “ikan-ikan jerung” lain.

2. Menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Di-Raja (RCI) terhadap penyelewengan wang rakyat melalui 1MDB dan FELDA.

3. Menubuhkan sebuah badan bebas yang akan berusaha mengembalikan aset dan wang rakyat yang telah dicuri atau diseleweng melalui rasuah.

4. Menjadikan SPRM sebuah badan bebas yang melapor terus kepada Parlimen.

5. Menghapuskan amalan runding terus (direct nego) untuk semua kontrak kerajaan.

=EZY=

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Tun Mahathir: “MO1 itu Najib”

OLEH ERMIZI MUHAMAD

BERA, 3 OKT: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak didakwa sebagai identiti Malaysian Official 1 seperti didedahkan Jabatan Keadilan (DOJ), Amerika Syarikat.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata demikian merujuk laporan dan pendedahan skandal kewangan melibatkan Presiden Umno itu.

“MO1 itu tetap Najib. Dia punya menteri sendiri mengaku dan mengaitkan individu itu adalah Najib.

img_20161002_232150_289“Mungkin menteri itu tidak habis membaca laporan DOJ, kalau dia baca penuh mungkin dia akan lebih tahu apa yang MO1 itu buat dan siapa yang lesap duit itu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada SelangorKini menerusi temubual esklusif di sebuah hotel sempena penganjuran Program Jelajah 1MDB, di sini, semalam.

Sebelum ini, Menteri Umno, Datuk Abdul Rahman Dahlan mengesahkan bahawa MO1 dirujuk 36 kali dalam saman sivil DOJ berkaitan penyelewengan 1MDB adalah Perdana Menteri.

“Saya dah kata secara terbuka, jelas sekali jika kamu membaca dokumen berkenaan, ia adalah Perdana Menteri,” kata Rahman dipetik BBC.

Pada Julai lalu, DOJ memfailkan saman sivil bagi melakukan pembekuan aset di Amerika Syarikat yang didakwa dibeli menerusi penyelewengan dana 1MDB.

Dalam pendedahan itu, DOJ bagaimanapun tidak menamakan Perdana Menteri Najib sebagai individu tersebut, namun mendedahkan identiti itu didakwa mempunyai AS$681 juta di dalam akaun peribadinya.

Perdana Menteri sebelum ini menafikan penglibatan beliau berhubung salah laku dan penyelewengan dana rakyat untuk tujuan peribadi.

-NFN-

Categories
NASIONAL

Anwar ‘keluar masuk’ penjara demi rakyat, Mahathir?

OLEH : ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 1 MAC : Prinsip perjuangan Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim berbeza dengan Tun Dr Mahathir Mohamed apabila Anwar berkorban ‘keluar masuk’ penjara demi memperjuangkan hak rakyat.

Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamarudin, berkata perjuangan Tun Dr Mahathir lebih tertumpu kepada ketidakpuasan hatinya terhadap pentadbiran Datuk Seri Najib Razak yang hanya ‘keluar masuk’ Umno.

ANWAR - NAJIBSebaliknya Anwar katanya, menjadi mangsa kezaliman kerajaan pentadbir melalui fitnah jahat kerana lantang memperjuangkan hak rakyat ke arah pembentukan negara yang lebih baik.

“Apa yang diperjuangkan Datuk Seri Anwar dan Tun Dr Mahathir itu berbeza. Mahathir tidak korbankan pangkat dan kekayaan.

“Berbanding Anwar yang korbankan semuanya termasuklah keluarga, kekayaan, kedudukan, malah disiksa lagi masuk dalam penjara demi perjuangan rakyat,” katanya kepada SelangorKini.

Anwar sebelum ini yang juga bekas Timbalan Perdana Menteri dipecat daripada kedudukannya kerana tidak sependapat dengan Perdana Menteri ketika itu, Tun Mahathir berhubung hal ehwal ekonomi negara di bawah pentadbiran Mahathir.

Lebih buruk lagi, Anwar juga pernah dipenjara atas pertuduhan Fitnah 1 di bawah rejim pentadbiran Mahathir.

Semalam, Tun Mahathir juga bekas Perdana Menteri paling lama berkhidmat itu mengisytiharkan dirinya keluar daripada Umno.

Tun Mahathir sebelum ini berkata, keputusan tersebut dibuat kerana parti di bawah kepimpinan Najib, tidak lagi sama dengan UMNO yang terdahulu.

EZY

Tun Mahathir, Khairuddin Keluar UMNO dialu-alukan


Tun Mahathir, Khairudin umum keluar UMNO berkuatkuasa serta merta. Ketua Setiausaha Pakatan Harapan, Datuk Saifuddin Abdullah mengalu-alukan tindakan tersebut.

#BERSIH 4 Tun M pengkhianat atau penyelamat?


Kehadiran mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengundang pelbagai persoalan.

Mat Sabu : Mahathir kepala perompak, saya percaya dia

Mohamad Sabu percaya mantan Perdana Menteri, Tun Mahathir menyimpan banyak rahsia Kerajaan termasuk penyelewangan dalam pentadbiran Malaysia.