Categories
EKONOMI SELANGOR

MB: Pulau Pinang dan Johor saling melengkapi subur ekonomi negara

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 12 OKT: Kerajaan Negeri tidak melihat negeri maju lain di Malaysia sebagai satu persaingan kepada Selangor.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, negeri seperti Pulau Pinang dan Johor sebaliknya berperanan membantu dan melengkapkan Selangor untuk terus merancak pembangunan.

Katanya, kemajuan di negeri berkenaan juga seharusnya diraikan kerana memberi kesan langsung kepada kesuburan ekonomi negara dan kesejahteraan rakyat.

“Saya tidak melihat Pulau Pinang dan Johor sebagai satu persaingan tetapi sebagai satu usaha bantu membantu dan melengkapi satu sama lain.

“Negeri termaju di Malaysia termasuk kedua negeri ini pastinya akan memberikan manfaat kepada negara dan rakyat keseluruhannya,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau ditemui sejurus selesai menyambut kunjungan ‘United Kingdom Mega Technology Mission’ ke Malaysia, di Istana Selangor, pada 10 Oktober lalu.

Pada 2016, Selangor berada satu tangga daripada Johor daripada jumlah pelaburan.

Berdasarkan jumlah projek diluluskan, Selangor bagaimanapun terus kekal di atas dengan 242 projek diikuti Johor dengan 165 projek.

Untuk rekod sehingga 2016, sebanyak 4,713 projek perkilangan diluluskan di Selangor dengan nilai pelaburan RM136 bilion.

Sejumlah RM70.3 bilion daripada jumlah itu adalah pelaburan tempatan sementara baki RM65.7 bilion pula pelaburan asing.

Pertumbuhan cemerlang itu menyaksikan Selangor berada pada tangga kedua selepas Johor yang memperoleh pelaburan tertinggi iaitu RM166 bilion, dalam tempoh sama.

Ia diikuti Sarawak dengan pelaburan bernilai RM101 bilion, Pulau Pinang (RM88.6 bilion) dan Kedah (RM58 bilion).

=EZY=