Categories
SELANGOR

Pelaku aktiviti sampah haram berdepan tindakan tegas

 

OLEH SABIRAH AZIZ

SHAH ALAM, 13 OKT: Tindakan undang-undang akan diambil terhadap pemilik tanah persendirian atau penceroboh tanah kerajaan yang bergiat aktif dalam aktiviti pelupusan sampah haram di kawasan Taman Bukit Subang, di sini.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Kota Anggerik, Dr Yaakob Sapari berkata, pihaknya memohon proses undang-undang dilaksanakan segera oleh pihak bertanggungjawab memandangkan banyak operasi sudah dijalankan di kawasan itu sebelum ini.

“Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) sudah buat operasi minggu lepas, namun apabila saya datang buat pemeriksaan, keadaan kembali diceroboh dan perkara ini harus diambil tindakan sewajarnya.

“Saya telah menghubungi pihak pengurusan daerah untuk membersihkan semula kawasan ini serta menangkap anjing liar supaya keadaan kembali terkawal,” katanya.

Yaakob berkata, kawasan tersebut juga telah diletakkan notis, namun penceroboh dilihat masih degil dan ingkar.

“Sebelum ini, pihak berwajib datang membersihkan kawasan, menangkap sebahagian anjing liar di sini dan membina longkang tetapi ia ditimbus semula,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Penduduk Pangsapuri Melati, Nor Azman Mohamed berkata, aktiviti pembuangan sampah haram di tapak itu semakin tidak terkawal sehingga mengganggu kehidupan penduduk sekitar.

“Sudah enam tahun perkara ini berlanjutan dan banyak laporan dibuat kepada pihak berkenaan, namun mereka masih lagi beroperasi secara haram seakan tidak takut kepada undang-undang.

“Saya memohon pihak berwajib menutup kawasan ini kerana ia menyebabkan kekacauan kepada penduduk dan sekiranya dibiarkan akan menjadi lebih teruk,” katanya.

Aktiviti haram di tapak berkeluasan kira-kira 1.5 ekar itu terletak berhampiran cerun bukit yang memisahkan Pangsapuri Melati dan Pangsapuri Teratai.

Ia juga terletak di kawasan di bawah talian penghantaran voltan tinggi Tenaga Nasional Berhad (TNB).