Categories
SELANGOR

ADN Sekinchan hargai komitmen turun padang MB

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 6 NOV : Ahli Dewan Negeri (ADN) Sekinchan, Ng Suee Lim menghargai komitmen turun padang Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali ke DUN berkenaan.

Beliau berkata, keprihatinan itu membuktikan kesungguhan pentadbiran negeri dinaungi Mohamed Azmin untuk komited mendekati rakyat dalam segenap aspek.

“Terima kasih kepada Dato’ Menteri Besar yang selalu terjah ke Sekinchan untuk memahami keperitan hidup dan masalah yang dihadapi rakyat.

“Inilah contoh Menteri Besar berjiwa rakyat, yang sentiasa terjah turun padang untuk bersama rakyat,” katanya ketika berbahas di Dewan Negeri Selangor (DNS), petang ini.

Pada 5 November lalu, Mohamed Azmin turun padang ke Sabak Bernam dan Kuala Selangor mendekati masyarakat di kawasan itu.

Lawatan itu juga menyaksikan Mohamed Azmin mendengar secara dekat permasalahan penduduk setempat khususnya keluhan golongan nelayan dan petani di daerah itu.

Untuk rekod, ini bukan pertama kalinya program turun padang Mohamed Azmin ke kawasan itu sejak menerajui kepimpinan negeri pada 2014.

Pada masa sama kata Suee Lim, Kerajaan Negeri diterajui Mohamed Azmin juga disifatkan sebagai seorang pemimpin yang fokus terhadap kebajikan rakyat khususnya kepada gololongan petani dan pesawah.

“Saya selaku ADN kawasan dan ADN Sabak, Sallehin Mukhyi ada menulis surat minta bantuan kepada Dato’ Menteri Besar kepada petani dan pesawah negeri.

“Akhirnya Dato’ MB meluluskan bantuan kewangan sebanyak RM8.54 juta kepada 8,953 pesawah di Sekinchan, Sabak Bernam, Kuala Selangor.

“Ini baru kapasiti Kerajaan Negeri dan kita nampak keikhlasan Kerajaan Negeri dipimpin Mohamed Azmin,” katanya.