Categories
SELANGOR

Lebih 100 berminat sertai Selangor Brain Bank

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 6 NOV: Sebanyak 105 permohonan diterima bagi menyertai program Khas Selangor Brain Bank yang menawarkan biasiswa pengajian peringkat Doktor Falsafah.

Exco Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains Teknologi dan Inovasi, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, 11 calon kini dipertimbang Lembaga Tabung Kumpulan Wang Biasiswa Negeri Selangor (TKWBNS) untuk melanjutkan pengajian dalam bidang strategik dan kritikal di universiti terkemuka luar negara.

Katanya, permohonan terbuka pada 15 November 2016 sehingga 31 Januari lalu dan 1 April hingga 15 Jun lalu.

“Kerajaan Negeri melalui TKWBNS menawarkan tiga program biasiswa untuk anak Selangor di peringkat siswazah dan pascasiswazah.

“Selain Selangor Brain Bank, kita juga tawarkan Biasiswa Selangorku dan Biasiswa Khas Dato’ Menteri Besar Selangor,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan lisan Ahli Dewan Negeri (ADN) Kuang, Datuk Abdul Shukur Idrus berhubung jumlah penerima biasiswa tajaan Kerajaan Negeri.

Nik Nazmi yang juga ADN Seri Setia berkata, seramai 286 pelajar Universiti Selangor (UNISEL) dan Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS) menerima Biasiswa Selangorku, sejak diperkenal pada 2016, dengan peruntukan RM5 juta.

“Buat masa ini, belum ada penerima Biasiswa Khas Dato’ Menteri Besar memandangkan urusan permohonan bagi pengambilan pertama masih dalam proses,” katanya.

Pada Mei 2017, Biasiswa Khas Dato’ Menteri Besar diumumkan dan diluluskan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pada 11 Oktober 2017.

Ia merupakan satu daripada dua bentuk bantuan pendidikan di bawah Program Khas Peduli Siswa Timur Tengah dan ditawarkan kepada 20 pelajar Ijazah Sarjana Muda di Timur Tengah.

Bagi pelaksanaan 2017, tawaran adalah terbuka kepada pelajar tahun 1 dan 2 dalam bidang Pengajian Islam di Mesir dan permohonan pertama dijangka dibuka bermula November 2017.