Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Banjir pantai timur, Selangor sedia bantu

OLEH ERMIZI MUHAMAD

GOMBAK, 30 NOV : Kerajaan Negeri bersiap sedia mengarahkan agensi terlibat untuk membantu negeri-negeri Pantai Timur sekiranya banjir di negeri berkenaan semakin buruk.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, inisiatif itu dilaksanakan sebagai tanggungjawab sosial pentadbiran negeri terhadap bencana banjir yang menimpa negeri terlibat.

Beliau berkata, komitmen itu dijayakan secara telus tanpa mengambil kira sebarang fahaman dan perbezaan politik.

“Dilaporkan sekarang berlaku banjir di Terengganu, Kelantan dan Pahang. Kita doakan cuaca di negeri terlibat semakin baik.

“Tetapi sekiranya cuaca hujan semakin lebat, kita akan melihat sebarang keperluan untuk membantu negeri-negeri ini kerana Selangor adalah sebuah Kerajaan Peduli Rakyat.

“Oleh itu, saya dalam proses memantau perkembangan banjir di negeri ini dan kami bersedia untuk membantu kerana kita mahu masalah rakyat ini dapat diselesaikan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada jelajah Peduli Rakyat peringkat Parlimen Gombak, Dataran Gombak Utara, Sungai Pusu, malam tadi.

Terdahulu, Kerajaan Negeri memperuntukkan bantuan kewangan RM1 juta bagi membantu mangsa banjir terburuk di Pulau Pinang.

Malah, Kerajaan Negeri juga sebelum ini pernah membina perumahan baru kepada mangsa banjir besar di Kelantan, dua tahun lalu.

Inisiatif berterusan itu dijayakan secara konsisten melalui penglibatan agensi negeri, penjawat awam dan komitmen turun padang dizahirkan Dato’ Menteri Besar dan Exco Kerajaan Negeri.