Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Selangor bayar bonus 21 Disember ini

OLEH ERMIZI MUHAMAD

GOMBAK, 30 NOV : Penjawat awam negeri bakal menerima insentif bantuan kewangan, pada 21 Disember ini.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, surat perkeliling pengumuman berkenaan sudah dikeluarkan kepada agensi kerajaan berkaitan.

“Saya telah keluarkan arahan bertulis, ia perlu dibayar pada 21 Disember ini supaya pegawai kerajaan dapat membiayai pendidikan anak-anak untuk bersekolah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada jelajah Peduli Rakyat peringkat Parlimen Gombak, Dataran Gombak Utara, Sungai Pusu, malam tadi.

Pada 3 November lalu, Mohamed Azmin mengumumkan pemberian insentif khas kewangan atau bonus tiga bulan gaji kepada penjawat awam negeri ketika mengumumkan Bajet Belanjawan Selangor 2018.

Bagaimanapun,pembayaran dua bulan gaji sudah dilakukan pada pertengahan Jun lalu, menjelang sambutan Aidilfitri.

Sementara bakinya,  satu bulan gaji lagi akan dibayar pada 21 Disember depan bagi membantu penjawat awam membuat persiapan persekolahan anak.

Pemberian itu dizahirkan sebagai tanda penghargaan Kerajaan Negeri kepada komitmen penjawat awam yang menjalankan amanah dan tanggungjawab dalam pembangunan ekonomi negeri.

Untuk rekod, pembayaran insentif itu memberi implikasi kewangan kepada Kerajaan Negeri sebanyak RM94.65 juta.

Dalam perkembangan lain, Mohamed Azmin memaklumkan pihaknya menerima banyak permohonan daripada penjawat awam Putrajaya untuk berkhidmat di Selangor, susulan pelaksanaan dasar berkebajikan diwujudkan Kerajaan Negeri.

Bagaimanapun katanya, keperluan proses kelulusan itu terbatas kerana jumlah pegawai kerajaan sedia ada di negeri itu, sudah memadai.

“Saya terima banyak permohonan melalui pesanan ringkas, surat dan emel. Tapi jumlahnya terlalu tinggi.

“Tapi tidak mengapalah, saya minta mereka kekal di Putrajaya kerana selepas pilihanraya depan, kami di Selangor ini yang akan berpindah ke Putrajaya,” selorohnya.