Categories
GLOBAL

Gunung Berapi Agung: 100,000 diarah pindah, penerbangan terjejas

OLEH: MOHD EZLI MASHUT

GLOBAL/ASIA: 27 NOV: Hampir 100,000 penduduk yang tinggal sekitar Gunung Berapi Agung di Kepulauan Bali diarahkan berpindah ketika mana 40,000 sudah berpindah ke kawasan selamat.

Jurucakap agensi pencegahan bencana Indonesia, Sutopo Purwo Nugroho berkata penduduk juga diarahkan berhati-hati disebabkan aliran larva sejuk juga boleh memberikan ancaman kepada penduduk.

“Banjir lahar hujan sudah terjadi di beberapa tempat di lereng Gunung Agung. Hujan akan meningkat.

“Jangan melakukan aktivitas di sekitar sungai. Radius 8-10 km harus kosong dari aktivitas masyarakat,” tulis Sutopo di laman twitternya.

Beliau berkata tidak semua penduduk sudah berpindah. Masih ada yang enggan kerana haiwan ternakan mereka tidak dipindahkan lagi.

“Malah ada di antara mereka masih merasa selamat,” katanya sambil menambah anggota keselamatan sedang memujuk orang ramai untuk berpindah, walaupun mereka boleh dipindahkan secara paksa.

Jurucakap lapangan terbang, Air Ahsanurrohim berkata 445 penerbangan dibatalkan, melibatkan kira-kira 59,000 pelancong.

Penutupan itu berkuatkuasa sehingga pagi esok walaupun pegawai berkata keadaan itu akan dikaji semula setiap enam jam.

Status amaran Gunung Agung dinaikkan daripada peringkat kedua tertinggi kepada peringkat tertinggi hari ini.

Selain itu, letusan gunung berapi itu turut disertai bunyi dentuman yang kedengaran sehingga radius 12 kilometer.

Kali terakhir Gunung Agung meletus ialah pada 1963, mengorbankan 1,100 orang.

Gunung Agung adalah gunung tertinggi di pulau Bali dengan ketinggian 3,142 meter dari paras laut.

Gunung Agung adalah gunung berapi tipe strato, gunung ini memiliki kawah yang sangat besar dan amat dalam yang kadang-kala mengeluarkan asap dan wap air.

Dari puncak gunung Agung kita dapat melihat puncak Gunung Berapi Rinjani yang berada di pulau Lombok, meskipun kedua gunung tertutup awan karena kedua puncak gunung tersebut berada di atas awan.

=EZY=