Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Hybrid Biological Process pertama di Selangor

OLEH SHEEDA FATHIL

BERANANG, 21 NOV : Hybrid Biological Process diperkenalkan Kerajaan Negeri untuk memproses sisa pelupusan sampah dengan lebih jimat dan berkualiti.

Exco Kerajaan Tempatan, Pemutihan Kilang Haram dan Pembangunan Kampung Baharu, Ean Yong Hian Wah berkata, Kerajaan Negeri menggalakkan teknologi hijau sekali gus konsep itu boleh diguna pakai.

“Projek perintis ini dapat memproses sehingga 100 metrik tan (MT) pengurusan sisa pepejal sehari sekali gus dapat menjimatkan kos dan kualiti alam sekitar terjamin.

“Penggunaan MSW dapat kurangkan kebergantungan 95 peratus terhadap kaedah “sanitary landfill” malah dengan teknologi hijau ini bau busuk juga dapat dikurangkan,” katanya.

Beliau berkata pada sidang media ketika membuat lawatan ke Projek Konsep Pembangunan Sumber Hijau Dalam Pengurusan Sisa Pepejal (MSW), di Kawasan Perindustrian Beranang, di sini, semalam.

Sementara itu, projek yang sudah beroperasi sejak September lalu itu adalah teknologi daripada negara Eropah yang sudah lama melaksanakan aktiviti berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutif AE Carbon Capital Sdn Bhd, Victor Yeow berkata, mereka berterima kasih kepada Kerajaan Negeri kerana memberi peluang untuk melaksanakan projek perintis itu.

“Dengan wujudnya projek ini sampah dirawat secara semulajadi dan biologikal, ia tidak menggunakan konsep pembakaran sekali gus akan mengeluarkan gas menjana elektrik.

“Objektif projek ini adalah untuk kurangkan sampah jangka masa panjang dan ia adalah input terbaik untuk penghasilan nilai tambah kepada barang perusahaan seperti baja organik, katanya.

Selain itu, penghasilan baja berkenaan sesuai pada tanaman sayuran dan Cameron Highland adalah antara tempat yang sering menempah baja dari syarikat berkenaan.

=EZY=