Categories
NASIONAL

Sambutan baik, bukti rakyat mahu perubahan di Johor

OLEH HAFIZAN TAIB

JOHOR, 26 NOV: Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali menganggap sambutan baik rakyat Johor terhadapnya dan pimpinan KEADILAN lain, membuktikan kesediaan mereka melakukan perubahan terhadap pentadbiran negeri itu.

Timbalan Presiden KEADILAN itu berkata, ia adalah petanda jelas rakyat dahagakan pembaharuan bagi menikmati kehidupan lebih baik berbanding apa dihadapi ketika ini menerusi pentadbiran diketuai Umno-Barisan Nasional (BN).

“Di Johor, saya dihalang masuk ke Projek Perumahan Rakyat Desa Mutiara oleh pimpinan Umno dan terpaksa beralih ke tempat lain tetapi saya puji penduduk kerana mereka keluar bertemu saya,” katanya dalam majlis ceramah Jelajah KEADILAN Peduli Rakyat di Kota Masai, di sini, semalam.

Mohamed Azmin berkata, berbanding layan buruk pimpinan Umno-BN, beliau menjunjung kasih kepada DYMM Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang memberi layanan istimewa terhadapnya dalam lawatan ke Istan Johor, tahun lalu.

Katanya, Sultan Johor menerima dengan baik malah menjamunya dengan masakan disediakan baginda sendiri di istana berkenaan.

“Kita majoriti orang Islam tidak seharusnya berbalah kerana Allah berpesan di dalam al-Quran, fastabiqul khairat dengan menyuruh kita berlumba-lumba melakukan kebaikan.

“Saya nak melakukan kebaikan dengan apa yang dibuat di Selangor, saya percaya di Johor pun boleh dibuat,” katanya.

Beliau berkata, apa berlaku itu membuktikan kedudukan Umno-BN ketika ini dalam keadaan nazak dan rakyat tidak harus takut bagi melakukan perubahan.

“Bila nazak, jangan rakyat semua gusar (untuk berubah).

“Selangor dahulu kubu Umno tetapi sekarang dah masuk muzium,” katanya.

=EZY=