Categories
NASIONAL

PAKATAN sasar ambilalih Johor

OLEH HAFIZAN TAIB

JOHOR, 26 NOV: Pakatan Harapan (PAKATAN) menjadikan Johor sebagai antara sasaran utama untuk diambilalih daripada Umno-Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum (PRU) nanti.

Timbalan Presiden KEADILAN, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, berkata gabungan parti itu akan fokus dengan kekuatan sedia ada di seluruh negeri itu bagi memenangi sokongan rakyat.

“Tumpuan kita bukan sahaja Johor Bahru tetapi seluruh Johor kerana ketika ini ia menjadi ‘frontline state’ PAKATAN.

“Hari ini rakyat Johor sudah bersedia untuk melakukan perubahan dan mereka berani menegakkan keadilan juga kebenaran.

“PAKATAN juga sudah bersedia dari segi kepimpinan dengan pemimpinnya yang berintegriti,” katanya kepada media selepas majlis Jelajah KEADILAN Peduli Rakyat di Tebrau, di sini, semalam.

Sebagai contoh di Parlimen Tebrau, beliau berkata, Steven Choong sebagai wakil rakyat amat dikenali ramai setelah bertahun-tahun berkhidmat di kawasannya.

“Ini semua berita kejayaan yang boleh melonjak sokongan rakyat Johor kepada PAKATAN dalam PRU akan datang,” katanya.

Mengulas lanjut, Mohamed Azmin berkata, jelajah diadakan di Johor selama dua hari itu adalah bagi meninjau sokongan rakyat dan persiapan KEADILAN dalam menghadapi PRU akan datang.

=EZY=