Categories
SELANGOR

Lebih 100 berminat sertai Selangor Brain Bank

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 6 NOV: Sebanyak 105 permohonan diterima bagi menyertai program Khas Selangor Brain Bank yang menawarkan biasiswa pengajian peringkat Doktor Falsafah.

Exco Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains Teknologi dan Inovasi, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, 11 calon kini dipertimbang Lembaga Tabung Kumpulan Wang Biasiswa Negeri Selangor (TKWBNS) untuk melanjutkan pengajian dalam bidang strategik dan kritikal di universiti terkemuka luar negara.

Katanya, permohonan terbuka pada 15 November 2016 sehingga 31 Januari lalu dan 1 April hingga 15 Jun lalu.

“Kerajaan Negeri melalui TKWBNS menawarkan tiga program biasiswa untuk anak Selangor di peringkat siswazah dan pascasiswazah.

“Selain Selangor Brain Bank, kita juga tawarkan Biasiswa Selangorku dan Biasiswa Khas Dato’ Menteri Besar Selangor,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan lisan Ahli Dewan Negeri (ADN) Kuang, Datuk Abdul Shukur Idrus berhubung jumlah penerima biasiswa tajaan Kerajaan Negeri.

Nik Nazmi yang juga ADN Seri Setia berkata, seramai 286 pelajar Universiti Selangor (UNISEL) dan Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS) menerima Biasiswa Selangorku, sejak diperkenal pada 2016, dengan peruntukan RM5 juta.

“Buat masa ini, belum ada penerima Biasiswa Khas Dato’ Menteri Besar memandangkan urusan permohonan bagi pengambilan pertama masih dalam proses,” katanya.

Pada Mei 2017, Biasiswa Khas Dato’ Menteri Besar diumumkan dan diluluskan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pada 11 Oktober 2017.

Ia merupakan satu daripada dua bentuk bantuan pendidikan di bawah Program Khas Peduli Siswa Timur Tengah dan ditawarkan kepada 20 pelajar Ijazah Sarjana Muda di Timur Tengah.

Bagi pelaksanaan 2017, tawaran adalah terbuka kepada pelajar tahun 1 dan 2 dalam bidang Pengajian Islam di Mesir dan permohonan pertama dijangka dibuka bermula November 2017.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Jangan terlepas peluang nikmati Selangor Brain Bank

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 9 JAN: Rakyat Selangor berkelayakan berpeluang menikmati tawaran biasiswa penuh pengajian Doktor Falsafah (PhD) menerusi Program Selangor Brain Bank.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, tawaran terbuka untuk pengajian PhD di universiti terkemuka luar negara bagi pengajian tahun 2017.

“Selangor komited untuk menyediakan sumber kepakaran dalam pelbagai bidang strategik yang merupakan asas penting pemangkin kepada pembangunan lestari selaras dengan konsep #SmartSelangor.

Azmin-Rakyat“Layari dan muat turun borang permohonan di laman web: http://tkwbns.selangor.gov.my/pů/index.php/muat-turun-borang,” katanya di laman Facebook rasminya.

Tawaran terbuka kepada rakyat Selangor dan penjawat awam berstatus tetap atau kontrak di bawah pentadbiran Kerajaan Negeri untuk tempoh lima tahun sebelum atau pada 31 Januari 2017.

Permohonan perlu dikemukakan melalui Ketua Jabatan dan tertakluk kepada peraturan perkhidmatan awam yang sedang berkuatkuasa.

Individu berkhidmat di sektor swasta negeri untuk tempoh lima tahun juga digalakkan memohon dengan mendapatkan surat pengesahan majikan.

Keutamaan diberikan kepada calon yang mahir dan menguasai lebih daripada satu bahasa antarabangsa.

Tawaran dibuka hanya untuk pengajian sepenuh masa di 50 universiti terkemuka luar negara yang tersenarai di QS World University Ranking.

Pemohon yang berjaya akan disenarai pendek untuk ditemuduga, sementara permohonan yang tidak mendapat maklum balas dalam tempoh sebulan selepas tarikh tutup dianggap tidak berjaya.

-nR-