Categories
SELANGOR

Macau Scam: RM7.2 juta kerugian dicatatkan di Selangor

PETALING JAYA, 21 NOV: Sebanyak 228 kes berkaitan penipuan ‘Macau Scam’ dicatatkan membabitkan kerugian kira-kira RM7.2 juta di Selangor dari Januari hingga November ini.

Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor berkata, walaupun pihak berkuasa telah mengeluarkan banyak peringatan kepada orang ramai namun kes berkaitan penipuan seumpama ini masih berlaku melibatkan pelbagai latar belakang mangsa termasuk golongan profesional.

“Masyarakat harus berhati-hati dalam melakukan sebarang transaksi melibatkan kad kredit dan jangan mudah panik serta terpedaya dengan sindiket ini,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Pelupusan Barang Kes Judi Dalam Talian di Balai Polis Ara Damansara, semalam.

Jenayah ‘Macau Scam’ kebiasaannya melibatkan penipuan menggunakan panggilan palsu daripada talian antarabangsa yang memperdaya mangsa untuk mendedahkan nombor akaun bank, nombor pengeluaran wang otomatik (ATM) atau kad kredit.

Orang ramai boleh melayari portal rasmi Bank Negara Malaysia untuk mendapatkan maklumat dan modus operandi anggota sindiket yang licik menipu rakyat negara ini.

Mazlan berkata sepanjang tahun lepas sebanyak 213 kes berkaitan penipuan itu direkodkan melibatkan kerugian dianggarkan lebih RM17.3juta, lapor Bernama.

Beliau berkata anggota sindiket itu juga dikesan menyamar sebagai pegawai bank dan menawarkan bantuan kononnya untuk mengelakkan wang mangsa dirampas atau dibekukan sebelum meminta mangsa memindahkan wang ke akaun lain yang dibekalkan oleh sindiket.

“Sekiranya sesiapa menerima panggilan yang mengatakan daripada pihak polis atau bank, jangan takut. Orang ramai boleh terus datang ke balai polis berdekatan untuk mendapatkan maklumat lanjut,” katanya.

=EZY=