Categories
NASIONAL

Azmin: Di mana prinsip Wasatiyah dalam pentadbiran Putrajaya?

OLEH ERMIZI MUHAMAD

KUALA LUMPUR, 21 NOV: Ahli Parlimen Gombak, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali menyangkal dakwaan kononnya Kerajaan Pusat berjaya meletakkan prinsip wasatiyah dalam meneraju inisiatif patuh syariah, di negara ini.

Beliau mengaitkan insiden bersifat Islamophobia dan sentimen perkauman terhadap masyarakat Melayu Islam yang berlaku kini.

“Di manakah keberkesanan prinsip itu dalam pentadbiran Putrajaya apabila kita melihat wujudnya isu dobi hanya untuk Islam.

“Begitu juga tindakan penceramah JAKIM, yang menghina kedaulatan Raja Melayu termasuk juga isu larangan bertudung, di hotel.

“Insiden ini mendapat dukungan daripada pimpinan Kerajaan seperti pendakwah bebas Zakir Naik yang mendapat dukungan timbalan perdana menteri sendiri. Jadi, di mana prinsip keberkesanan wasatiyah itu?” soalnya pada sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat, pagi ini.

Baru-baru ini, media melaporkan beberapa individu dan isu yang tular di media sosial berkait isu perkauman juga sensitiviti agama, di negara ini.

Kes pertama membabitkan larangan masyarakat bukan Islam menggunakan dobi di Johor – yang tular di media sosial.

Penularan kes berkenaan turut mendapat campur tangan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang bertitah supaya larangan itu ditarik balik serta-merta.

Susulan perkara itu, pendakwah bebas, Zamihan Mat Zin didakwa, turut mengulas isu berkenaan yang akhirnya mendapat kecaman umum.

Pada masa sama, dilaporkan pula wujudnya larangan pemakaian tudung membabitkan pekerja hotel di bahagian hadapan yang turut mendapat respon kementerian, di Putrajaya.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom ketika menjawab pertanyaan Mohamed Azmin turut mengakui insiden perkauman dan sentimen keagamaan itu perlu disekat.

Justeru, katanya, Kerajaan Pusat melaksanakan dasar Indeks Syariah Malaysia sebagai kayu ukur dan inisiatif untuk memastikan perkara sama tidak berulang.

Categories
SELANGOR

Macau Scam: RM7.2 juta kerugian dicatatkan di Selangor

PETALING JAYA, 21 NOV: Sebanyak 228 kes berkaitan penipuan ‘Macau Scam’ dicatatkan membabitkan kerugian kira-kira RM7.2 juta di Selangor dari Januari hingga November ini.

Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor berkata, walaupun pihak berkuasa telah mengeluarkan banyak peringatan kepada orang ramai namun kes berkaitan penipuan seumpama ini masih berlaku melibatkan pelbagai latar belakang mangsa termasuk golongan profesional.

“Masyarakat harus berhati-hati dalam melakukan sebarang transaksi melibatkan kad kredit dan jangan mudah panik serta terpedaya dengan sindiket ini,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Pelupusan Barang Kes Judi Dalam Talian di Balai Polis Ara Damansara, semalam.

Jenayah ‘Macau Scam’ kebiasaannya melibatkan penipuan menggunakan panggilan palsu daripada talian antarabangsa yang memperdaya mangsa untuk mendedahkan nombor akaun bank, nombor pengeluaran wang otomatik (ATM) atau kad kredit.

Orang ramai boleh melayari portal rasmi Bank Negara Malaysia untuk mendapatkan maklumat dan modus operandi anggota sindiket yang licik menipu rakyat negara ini.

Mazlan berkata sepanjang tahun lepas sebanyak 213 kes berkaitan penipuan itu direkodkan melibatkan kerugian dianggarkan lebih RM17.3juta, lapor Bernama.

Beliau berkata anggota sindiket itu juga dikesan menyamar sebagai pegawai bank dan menawarkan bantuan kononnya untuk mengelakkan wang mangsa dirampas atau dibekukan sebelum meminta mangsa memindahkan wang ke akaun lain yang dibekalkan oleh sindiket.

“Sekiranya sesiapa menerima panggilan yang mengatakan daripada pihak polis atau bank, jangan takut. Orang ramai boleh terus datang ke balai polis berdekatan untuk mendapatkan maklumat lanjut,” katanya.

=EZY=