Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

MB: Biar saya bayar premium penduduk

OLEH AFIX REDZUAN

HULU KELANG, 18 NOV: Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berbesar hati untuk membayar kadar premium nominal RM1,000 bagi tujuh keluarga yang tinggal sejak sekian lama di Kampung Batu 7 3/4 di Hulu Kelang.

Berita gembira itu nyata disambut dengan tepukan gemuruh penduduk setempat yang sudah dianggap Mohamed Azmin sebagai keluarganya sendiri walaupun beliau membesar di Kampung Klang Gates.

Menurutnya, beliau sendiri akan membuat pembayaran berjumlah RM7,000 menggunakan pendapatannya bulan ini.

“Saya dengan penuh rasa tawadduk, saya mengambil keputusan bahawa RM1,000 yang dikenakan kepada tujuh keluarga ini, biarlah saya tolong bayarkan.

“Bukan daripada Kerajaan Negeri tetapi Insya-Allah saya akan gunakan gaji saya bulan ini dan membayar bagi pihak keluarga kepada Pegawai Daerah Gombak,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Hak Pemilikan Tanah Notis 5A di Kampung 7 3/4 Hulu Kelang.

Berdasarkan kadar semasa premium tanah kampung ini dianggarkan bernilai RM52,000.

Menurutnya, perjuangan penduduk kampung ini bermula sejak sekian lama bahkan tidak mendapat perhatian daripada Kerajaan Negeri ketika ditadbir Barisan Nasional.

Ini termasuk pengalaman beliau bersama Ahli Dewan Negeri (ADN) Hulu Kelang, Saari Sungib yang bermalam dengan penduduk kampung untuk menghalang aktiviti perobohan dilakukan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) satu ketika dahulu.

Menceritakan sejarah di Kampung Batu 7 3/4 beliau mengakui pernah menyorok di sini ketika namanya termasuk dalam senarai tangkapan ISA sekitar tahun 1998 hingga 2000.

“Saya pernah menyorok di sini sekitar tahun 1998-2000 apabila saya diburu polis selepas nama saya naik dalam senarai tangkapan ISA.

“Saya menyorok di kedai makan Tokpat Hamid dan Mak Tam.

“Saya duduk minum teh tarik sehingga lewat malam dan apabila keadaan tenang baru saya balik,” katanya.

=EZY=