Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

MB tunjuk ajar pembangkang beza defisit Selangor dengan Persekutuan

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 8 NOV: Belanjawan defisit dibentangkan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali Jumaat lalu jauh berbeza dengan belanjawan defisit dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bagi peringkat Kerajaan Persekutuan.

Mohamed Azmin berkata, belanjawan dengan unjuran defisit yang dibentangkan beliau bertujuan menyediakan peruntukan pembangunan berbanding defisit dicatatkan Kerajaan Persekutuan bagi membiayai belanja pengurusan.

“Belanjawan defisit yang disaksikan Dewan Negeri Selangor (DNS) untuk mewakili 53.2 peratus daripada jumlah belanjawan untuk pembangunan sekaligus menguncupkan belanjawan pengurusan kepada 46.8 peratus. Ini adalah defisit berhemah untuk melonjakkan lagi pembangunan.

“Pembangunan dibiayai melalui defisit ini untuk menjana pertumbuhan dan sekaligus menyumbang kepada ekonomi Malaysia keseluruhan.

“Deifisit untuk pembangunan adalah sangat berbeza dengan defisit bertujuan untuk membiayai belanja mengurus seperti diamalkan Putrajaya,” katanya ketika menggulung perbahasan Belanjawan Negeri Selangor 2018 di DNS di sini, hari ini.

Katanya, Kerajaan Negeri berupaya membiayai belanjawan defisit yang dibentangkan berikutan rizab semasa negeri yang kukuh dan paling utama tidak meminjam mana-mana pihak untuk membiayai defisit tersebut.

Katanya, pengalaman membentangkan tiga belanjawan membuktikan perbelanjaan berhemah mampu memperkukuhkan budaya kerja cekap dan berintegriti bagi menutup ruang pembaziran dan ketirisan.

Beliau berkata keadaan itu boleh mengubah belanjawan defisit kepada surplus atau sekurang-kurangnya mengurangkan jumlah defisit kepada angka lebih munasabah.

“Sebagai contoh, belanjawan yang saya bentangkan pada 2015 bersifat belanjawan defisit berjumlah RM452.5 juta namun belanjawan sebenar RM2015 menjadi surplus mencatatkan lebihan RM232.75 juta.

“Bagi 2016, defisit diunjurkan berjumlah RM630 juta berkurang kepada RM264.02 juta. Manakala bagi 2017 defisit diunjurkan berjumlah RM900 juta tetapi sehingga 31 Oktober 2017 belanjawan mencatatkan lebihan sebanyak RM178.2 juta,” katanya.

=EZY=