Categories
NASIONAL

Mukhriz ulas isu kepala bapak kau!

OLEH ERMIZI MUHAMAD

PAHANG, 19 NOV : Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Datuk Seri Mukhriz Mahathir menyelar penggunaan kata, ‘kepala bapak kau’ yang diungkapkan pemimpin tertinggi negara, Datuk Seri Mohd Najib Razak.

Beliau berkata, penggunaan ayat bersifat negatif itu menimbulkan persoalan besar terhadap sejauh mana kredibiliti dan integriti Perdana Menteri itu dalam mengeluarkan kenyataan di hadapan umum.

“Dia marah sangat sebab Tun Mahathir ungkit isu tanah di Johor apabila tanah yang ditambak itu dijal kepada orang luar.

“Alasan boleh dijual katanya sebab ia bukan milik tanah negeri, tetapi ia tanah tambak yang boleh ditukar proses hak milikan kekal itu.

“Kemudian dia marah dan keluarlah perkataan itu. Itukah pemikiran dan contoh Perdana Menteri terbaik?” soalnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Ceramah Umum Jelajah KEADILAN Peduli Rakyat di Simpang Kepayang, Bera, malam tadi.

Insiden kemarahan Najib yang mengeluarkan bahasa kasar itu dilemparkannya ketika berucap pada Mesyuarat Agung Tahunan MCA di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

“Mereka mengancam untuk mengubah segala-galanya, kononnya (Malaysia) menjual kedaulatan. Apa?

“Kepala bapak kau! Tak logik,” kata Najib dengan bersemangat di depan ribuan perwakilan yang memenuhi dewan persidangan di Ibu Pejabat MCA di Jalan Ampang, lapor MalaysiaKini.

Bukan sekadar itu, Najib turut menggunakan perkataan ‘bodoh’ merujuk kepada ulasan pimpinan pembangkang terhadap tindakan Kerajaan Persekutuan mengadakan hubungan pelaburan bersama China.

Bagaimanapun kata Mukhriz, contoh kepimpinan Perdana Menteri itu boleh dinilai sendiri rakyat kebanyakkan.

“Selain kepala bapak kau, Najib juga sebut stupid (bodoh) yang tidak perlulah saya terjemahkan dalam Bahasa Melayu.

“Rakyat faham (maksudnya) dan biarlah rakyat yang menilai,” katanya.

=EZY=