Categories
NASIONAL

Rosmah sembang PRU Julai 2018, Azmin persoal siapa PM?

OLEH ERMIZI MUHAMAD

PAHANG, 19 NOV : Timbalan Presiden KEADILAN, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali mempersoal dakwaan Datin Seri Rosmah Mansor yang mejangkakan kemungkinan berlakunya Pilihan Raya Umum (PRU14) pada Julai ini.

Secara sinis Mohamed Azmin menyifatkan Rosmah sebagai Perdana Menteri baru, menggantikan suaminya, Datuk Seri Najib Razak.

“Tunggu punya tunggu bila nak buat pengumuman PRU, akhirnya Rosmah umum PRU akan berlaku sebelum bulan Julai 2018.

“Inilah kenyataan Perdana Menteri Malaysia yang baru, Datuk Seri Rosmah Mansor. Apa benda ini? Siapa Perdana Menteri?

“Tak malu ke? Perdana Menteri tak buat pengumuman, tapi beliau pula yang buat pengumuman,” sindirnya.

Mohamed Azmin berkata demikian ketika berucap pada Ceramah Umum Jelajah KEADILAN Peduli Rakyat di Simpang Kepayang, Bera, malam tadi.

Sebelumnya, Rosmah mendakwa beliau tidak menolak kemungkinan PRU14 diadakan sebelum Julai tahun depan, selepas melihat sendiri persiapan Wanita Umno dan kesediaan jentera parti itu.

“Saya tak tahu, tapi saya rasa mestilah sebelum Julai.

“Jadi Majlis Tertinggi (Umno) selalu bincang. Tiap-tiap bulan bermesyuarat bila PRU 14 akan diadakan,” kata Rosmah, lapor The Malaysia Insight.

Rosmah mendedahkan, Najib pernah bertanyakan pendapat beliau tentang tempoh masa sesuai untuk diadakan pilihanraya.

Namun kata Rosmah, beliau tidak tahu kerana dirinya bukan ahli politik.

Beliau dilapor berkata demikian pada Majlis Tahunan Bersama Skuad Sayang, di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), semalam.

=EZY=