Categories
NASIONAL

PAKATAN desak KDN siasatan punca kemalangan konvoi Anwar

OLEH AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 2 NOV: Pakatan Harapan mendesak Kementerian Dalam Negeri (KDN) melakukan siasatan berhubung kemalangan melibatkan konvoi penjara ketika membawa Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada 22 September lalu.

Ketua Whip KEADILAN, Datuk Johari Abdul berkata, kesan kemalangan itu memburukkan lagi kecederaan ‘rotator cuff tear’ di bahu kanan Anwar yang sudah berlarutan lebih sebulan hingga mengakibatkan kesakitan berterusan walaupun beliau tidak kecederaan ketara ketika itu.

“Kesakitan ini mengakibatkan Anwar tidak boleh menulis seperti biasa. Malahan sebarang gerakkan bahu kanan menyebabkan kesakitan yang amat teruk.

“Beliau tidak boleh mengangkat sebarang objek dengan menggunakan tangan kanan,” katanya.

Pada sidang media di Pusat Media Parlimen, beliau turut mempersoalkan tindakan Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Jeyaindran yang sering menangguhkan rawatan terhadap Anwar.

Lebih mengejutkan, Anwar hanya dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) selepas tiga hari kejadian kemalangan yang mengakibatkan kerosakkan pada belakang kenderaan dinaiki beliau dan pegawai keselamatan.

Johari berkata, Anwar kini terpaksa mempertimbangkan semula pilihan untuk menjalani pembedahan akibat kesakitan teruk walaupun menolaknya sebelum ini.

Menurutnya, kesan kesakitan daripada kemalangan itu menyaksikan Anwar hanya diberikan ubat tahan sakit dengan dos tambahan daripada biasa kerana rasa sakit yang berterusan.

“Mengapa permintaan ahli-ahli keluarga dan peguam-peguam Anwar supaya beliau diberikan fisioterapi tembahan secara kerap dan rawatan intensif untuk meringankan kesakitannya diendahkan Kerajaan Persekutuan?

“Ini adalah kali pertama suatu konvoi yang membawa Anwar terlibat dalam kemalangan.

“Walaupun banyak perjalanan keluar masuk dari penjara dilakukan termasuk ketika beliau dipenjarakan kali pertama selama enam tahun, sehingga kini tiada sebarang kemalangan seumpanya berlaku,” katanya.