Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Revolusi Rumah SelangorKu 2.0, tingkat aspek kualiti

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 15 NOV: Aspek pembangunan menyeluruh inisiatif perumahan Rumah Selangorku bakal diperluas ke arah memastikan pembaikan dasar berkenaan dapat ditingkatkan.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Kehidupan Bandar, Dato’ Iskandar Abdul Samad berkata, Kerajaan Negeri fokus meletakkan pembangunan Rumah SelangorKu sebagai antara teras utama agenda berkebajikan negeri.

Beliau berkata, tumpuan berkenaan termasuklah memperkenalkan Revolusi Rumah SelangorKu 2.0 yang dilaksanakan untuk tempoh 2018.

“Sudah empat tahun dasar ini dilaksanakan, justeru sudah wujud cadangan daripada pemaju tentang keperluan bagaimana dasar ini boleh ditambahbaik untuk tempoh 2018 akan datang.

“Antara tumpuan itu termasuklah usaha memastikan kualiti Rumah SelangorKu dapat dipertingkatkan dengan memastikan spesifikasi yang wajib ada dalam pembinaan rumah berkenaan,” katanya kepada SelangorKini.

Terdahulu, Kerajaan Negeri memperkalkan Skim Rumah SelangorKu sebagai inisiatif membuka peluang rakyat Selangor memiliki sebuah rumah sendiri bernilai tidak melebihi RM250,000.

Untuk rekod, sebanyak 132,916 unit Rumah Selangorku diluluskan Kerajaan Negeri sejak mula diperkenalkan, pada 2014.

Dalam perkembangan lain, Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) sebelum ini menetapkan setiap pemohon Rumah SelangorKu perlu mendaftar semula setiap dua tahun.

Pelaksanaan itu bagi membolehkan LPHS mengenal pasti dan menentukan sama ada pemohon masih berminat untuk memiliki Rumah SelangorKu.

=EZY=