Categories
SELANGOR

RM5.2 juta semarak aktiviti budaya dan seni

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 3 NOV: Kerajaan Negeri menyediakan peruntukan sejumlah RM5.2 juta untuk memajukan kegiatan dan aktiviti budaya dan seni dalam kalangan masyarakat.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, antara inisiatif baru bakal dilaksanakan termasuk pementasan teater bagi karya sasterawan negara, persembahan simfoni Selangor dan pameran seni halus.

Katanya, Kerajaan Negeri juga akan melaksanakan program pembangunan bakat muda untuk merancakkan perkembangan seni dan budaya termasuk kegiatan penulisan kreatif diilhamkan karya Rehman Rashid.

“Kerja menaik taraf bekas bangunan Pejabat Agama Islam Daerah Klang juga akan bermula hujung tahun ini untuk dijadikan Galeri Seni Lukis Negeri Selangor.

“Ia akan menjadi pusat pameran karya seni halus, seni lukis dan seni tampak serta menyediakan ruang untuk menjalankan aktiviti seni dan mempamerkan hasil karya bakat baru,” katanya.

Mohamed Azmin berkata, inisiatif baru juga akan diperkenal bagi memberi pencerahan kepada rakyat dengan fakta dan ilmu melalui program pengukuhan minda rakyat, dengan peruntukan RM12.3 juta.

Katanya, ia bertujuan menyuburkan masyarakat bermaklumat bagi melawan fenomena berita palsu dan politik kotor.

“Kerajaan Negeri juga akan menganjurkan pameran adat dan warisan bertaraf antarabangsa bermula akhir tahun ini dengan kerjasama Sekretariat Nasional Perkerisan Indonesia (SNKI).

“Pameran ini diadakan bagi meningkatkan minat dan kecintaan masyarakat kepada sejarah, adat dan warisan masyarakat Bugis yang menghasilkan epik La Galigo, di samping melahirkan pahlawan seperti Raja Haji dan pendeta Raja Ali Haji,” katanya.

=EZY=